XIAONAN ketika hadir di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini. FOTO Izz Laily Hussein
Johor Bahru: Seorang penuntut universiti di Singapura dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan menculik remaja perempuan warga China, bulan lalu.
Tertuduh, Huang Xiaonan, 22, yang juga warga China mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret R Salini.
Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa menculik remaja berusia 15 tahun itu dengan niat supaya orang itu dikurung secara rahsia di sebuah hotel di Jalan Station di sini, 4.08 petang, 24 November lalu.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Ameerah Allaudeen tidak mencadangkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan di bawah seksyen berkenaan tidak boleh dijamin.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 27 Januari depan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan polis menerima laporan kejadian daripada lelaki warga China berusia 48 tahun mengenai anaknya yang tidak hadir ke sekolah di Singapura dan dipercayai dilarikan individu tidak dikenali.
Anak lelaki itu dibawa masuk ke Malaysia melalui pintu masuk Woodland, Singapura sebelum polis membuat serbuan dan berjaya menyelamatkan mangsa di Kuantan, Pahang.
Disiarkan pada: Disember 5, 2024
|