RAUB (tengah) menunjukkan lima tong dipercayai pati ubat batuk yang dirampas dalam Operasi Khas di sebuah jeti. FOTO Omar Ahmad
Johor Bahru: Sindiket penyeludupan pati ubat batuk dipercayai untuk pembuatan pelbagai jenis dadah tumpas dengan penahanan dua warga Singapura di sebuah jeti di Masai, di sini, kelmarin.
Dalam operasi kira-kira 6 petang, Pasukan Polis Marin Wilayah Dua turut merampas 130 liter pati ubat batuk bernilai RM75,150.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, modus operandi sindiket menggunakan bot rekreasi memancing bagi membawa keluar pati ubat batuk dari negeri ini ke negara jiran.
Menurutnya, dalam operasi khas itu, dua lelaki warga Singapura berusia 45 dan 50 tahun ditahan ketika membawa bot rekreasi memancing keluar ke perairan.
"Hasil serbuan, polis merampas lima tong cecair berwarna hitam disyaki ubat batuk (ubat terkawal) yang diletakkan di bahagian penyimpanan ikan.
"Siasatan awal mendapati sindiket ini baru beroperasi dan dipercayai mengambil upah RM120 bagi setiap tong.
"Mereka juga dipercayai menggunakan bot rekreasi memancing untuk mengaburi pihak berkuasa," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, di sini, hari ini.
Menurut Raub, pihaknya percaya kedua-dua suspek berperanan sebagai 'transporter' yang mengambil bekalan daripada pembekal dan menghantar ke pasaran luar negara.
Katanya, saringan ujian air kencing mendapati suspek berusia 45 tahun positif dadah, manakala rakannya bebas bahan terlarang.
"Sebuah bot fiber, serangkai kunci bot, enjin mercurial dan empat telefon bimbit dengan nilai keseluruhan RM465,150 turut dirampas.
"Mereka direman sehingga Sabtu ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 9(1) dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952," katanya.
Disiarkan pada: Disember 5, 2024
|