Butterworth: Syarikat pembuatan dijatuhi hukuman denda sebanyak RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, kerana gagal mengadakan kawalan dan pemantauan penggunaan mesin power press (penekan kuasa) sehingga menyebabkan kemalangan ke atas seorang pekerjanya.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang dalam kenyataannya hari ini memaklumkan bahawa syarikat berkenaan, Yollink Industries Sdn Bhd yang tidak diwakili peguam mengaku salah atas dakwaan itu di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.
Mengikut JKKP, kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
Syarikat berkenaan mengaku bersalah sebagai majikan yang gagal bagi memastikan kewajipannya, setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja pekerjanya.
Syarikat terbabit gagal mengadakan kawalan dan pemantauan penggunaan mesin penekan kuasa sehingga menyebabkan kemalangan ke atas seorang pekerjanya.
"Kejadian itu dilapor berlaku pada 1 Disember tahun lalu yang menyebabkan tiga jari tangan kanan mangsa tersepit pada mesin terbabit ketika mengendalikannya," menurut kenyataan itu.