Butterworth: Seorang pelajar kolej swasta maut manakala dua lagi rakannya cedera selepas kereta dinaiki mereka melanggar pembahagi jalan di Plaza Tol Sungai Dua, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 9.40 pagi itu, mangsa, Muhammad Adam Mifdal Mohd Affendy, 18, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada anggota badan.
Manakala dua lagi rakannya, Muhammad Amirul Johan Rizwal, 18, dan Muhammad Shahmi Mohd Yusof, 22, masing-masing cedera dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kepala Batas, Idrus Zakaria berkata, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan jam 9.44 pagi mendapati kemalangan itu membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi.
"Terdapat tiga mangsa yang mana dua daripadanya iaitu masing-masing lelaki berusia 18 dan 22 tahun cedera namun telah dikeluarkan oleh orang awam.
"Seorang lagi mangsa tersepit di tempat duduk penumpang belakang dan dikeluarkan oleh pihak bomba sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya kepada pemberita hari ini.
Idrus memaklumkan jenazah mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.