Langkawi: Lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut ketika dalam perjalanan pulang selepas memancing di benteng pemecah ombak di Kuala Chenang di sini, malam tadi.
Mangsa dikenali Che Yassin Che Ngah, 43, berasal dari Kampung Perana, Mukim Ulu Melaka, di sini.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, mangsa, Che Yassin Che Ngah, 43, kali terakhir dilihat adik iparnya yang memancing bersama pada 11.30 malam.
"Mereka selesai memancing di benteng pemecah ombak dan berjalan pulang sambil menolak motosikal.
"Sebaik hampir tiba di tengah jambatan, mangsa dilapor terpijak kayu reput sebelum terjatuh bersama motosikalnya ke dalam laut," katanya dalam kenyataan.
Shariman berkata, sejurus itu mangsa dikatakan terapung beberapa minit sebelum hilang.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan setengah jam selepas kejadian yang turut disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
"Operasi peringkat awal turut dibantu nelayan tempatan dan pengusaha sukan pantai," katanya.
Beliau berkata, sehingga 5.30 petang ini SAR masih diteruskan membabitkan 60 pegawai dan anggota pasukan keselamatan.