Edited by sfhzuraz at 6-12-2024 07:02 PM
'Umi tunggu Adam balik tau...'
06 Disember 2024 05:44pm
Gambar kenangan Adam bersama Siti Zaharan ketika menghadiri konvokesyen adiknya pada Oktober lalu. Gambar kanan: Siti Zaharan menunjukkan gambar kenangan bersama anaknya yang diambil pada Oktober lalu.
KEPALA BATAS - "Umi, Umi tunggu Adam balik tau...Adam ada sesuatu nak bagi tahu Umi".
Itu antara perbualan terakhir mangsa nahas di Plaza Tol Sungai Dua, di sini Muhammad Adam Mifdal Mohd Affendy dengan ibunya, Siti Zaharan Shaari, 44, pada malam sebelum kejadian.
Siti Zaharan berkata, anak sulungnya itu dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur menuju ke Alor Setar bagi mengadakan persembahan di Kedah Bike Week di Taman Jubli Emas pada Jumaat.
Menurutnya, Adam merupakan pelajar Akedemi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam jurusan muzik sebelum ini menunjukkan keterujaannya untuk mengadakan persembahan pertamanya di kampung halaman sendiri.
"Kali terakhir saya berhubung dengan Adam pada malam tadi (Khamis) dan dia memaklumkan akan bertolak balik ke Alor Setar bersama rakan-rakan pada pagi ini.
"Luluh rasa hati ini bila dapat panggilan yang memaklumkanAdam meninggal dunia dalam kemalangan pagi tadi.
"Rasa ralat sangat sebab tak dapat dengar perkara apa yang Adam nak ceritakan kepada saya," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Unit Forensik Hospital Kepala Batas di sini pada Jumaat.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang remaja maut manakala dua lagi rakannya parah selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas dan merempuh pembahagi jalan di Plaza Tol Sungai Dua arah utara di sini, pada Jumaat.
Mangsa yang maut dikenali Muhammad Adam Mifdal Mohd Affendy, 18, manakala dua rakannya yang cedera, Muhammad Amirul Johan Rizwal,18, dan Muhammad Shahmi Mohd Yusof, 22.
Difahamkan, Adam yang duduk di ruangan penumpang bahagian hadapan tersepit dan mengalami kecederaan parah di bahagian anggota badan.
Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba sebelum disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan.
Sementara itu, Siti Zaharan menyifatkan anaknya sebagai seorang anak yang periang, mudah disenangi oleh kawan-kawan selain suka bercerita tentang aktiviti harian dengannya.
"Memang sebelum ni dia (Adam) bagi tahu nak bawa rakan-rakannya dari Kuala Lumpur untuk jalan-jalan di Alor Setar.
"Walaupun sedih dengan kehilangan ini namun saya reda dengan ketentuan ilahi," katanya lagi.
Difahamkan jenazah akan dibawa pulang ke kampung halaman di Taman Bersatu, Kuala Kedah dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Taman Bersatu.
https://www.sinarharian.com.my/article/700852/berita/semasa/umi-tunggu-adam-balik-tau
|