CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 61283|Reply: 0

[Pulau Pinang] Harga beras import dari India berjaya diturunkan hasil rundingan bersama - PM

[Copy link]
Post time 7-12-2024 02:11 PM | Show all posts |Read mode
Edited by sfhzuraz at 7-12-2024 02:13 PM

Harga beras import dari India berjaya diturunkan hasil rundingan bersama - PM

07 Disember 2024 01:06pm





Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat ayam yang dijual pada Program Jualan Termurah Madani di Jalan Kampung Masjid Timah, Permatang Pauh pada Sabtu. Foto Bernama




BUTTERWORTH - Harga beras import dari India berjaya diturunkan sedikit hasil rundingan bersama kerajaan India, semasa lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara berkenaan pada Ogos lepas.

Anwar berkata, kerajaan Persekutuan komited dalam meringankan beban rakyat khususnya dalam memastikan barangan keperluan asas ditawarkan pada harga yang rendah.


"Mereka (India) bersetuju menjual beras dengan harga lebih murah. Kita berharap langkah ini dapat meringankan beban masyarakat," kata beliau dalam ucapan semasa Majlis Peluncuran Jualan Termurah Madani di Kampung Masjid Timah di sini pada Sabtu.

Anwar berkata, penganjuran program jualan murah mampu menjadi persaingan yang sihat sekali gus memberi tekanan kepada harga pasaran supaya dapat diturunkan.



]
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat ikan bawal emas yang dijual pada Program Jualan Termurah Madani di Jalan Kampung Masjid Timah, Permatang Pauh pada Sabtu. Foto Bernama




Perdana Menteri berkata, Jualan Termurah Madani yang berlangsung sehari itu menawarkan 1,000 ekor ayam dan 200 kampit beras secara percuma kepada pengunjung.

Selain itu, beliau berkata, pengunjung juga boleh membeli ikan segar yang harganya dijamin lebih murah daripada pasaran kerana ia diambil terus daripada kapal nelayan.


"Ikan segar boleh didapati dengan harga murah jika diperoleh secara langsung daripada nelayan tanpa orang tengah, sebab itu kita galakkan para nelayan untuk menggunakan aplikasi berkaitan supaya orang ramai boleh beli secara langsung daripada mereka sekali gus mewujudkan persaingan yang sihat dalam pasaran," kata beliau.


Anwar turut meluangkan masa kira-kira 30 minit pada program itu sambil menyantuni peniaga dan pengunjung yang hadir.


Jualan Termurah Madani Pulau Pinang meriah, pengunjung teruja jimat sehingga 30 peratus


BUKIT MERTAJAM - Program Jualan Termurah Madani peringkat Pulau Pinang pada Sabtu mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai yang ingin mendapatkan barangan keperluan dengan harga lebih murah.


Lebih menarik, Program Jualan Termurah Madani yang diadakan di Kampung Masjid Timah, Permatang Pauh di sini, turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Anwar yang meluangkan masa kira-kira 30 minit di program tersebut turut menyempurnakan Peluncuran Serentak Jualan Termurah Madani bagi Zon Utara, Zon Selatan dan Zon Tengah.

Seorang pengunjung, Mohd Razali Desa, 52, berkata, beliau tidak melepaskan peluang untuk membeli di Jualan Madani yang diadakan di sekitar Permatang Pauh kerana barangan yang dijual lebih murah berbanding harga pasaran di pasar raya atau pusat beli-belah.

Katanya, beliau dapat berjimat sehingga 30 peratus apabila membeli di Jualan Madani dan berharap program jualan seperti ini dapat diteruskan dengan lebih kerap di seluruh kawasan supaya orang ramai dapat membeli barangan dengan harga murah.

"Hari ini, banyak barangan yang murah seperti ikan, telur, dan beras. Malah, buah-buahan juga murah, seperti buah longan yang hanya RM7 sekilogram. Kami dapat berjimat banyak dan berharap program ini dapat diteruskan," katanya kepada Bernama.

Bagi Norhayati Jamail, 39, beliau berkata, dapat berjimat lebih banyak kerana barangan, terutamanya hasil laut, dijual dengan harga yang lebih murah berbanding harga pasaran. Malah, dengan pembelian RM50 ke atas, pelanggan berpeluang mendapat seekor ayam secara percuma.

"Saya beli ikan, sotong, ketam, dan udang, semuanya sangat murah hari ini. Saya juga membeli bahan-bahan kering untuk memasak. Barangan yang dibeli ini boleh digunakan sehingga dua minggu, jadi saya dapat berjimat," katanya.

Chan Cee Woon, 50, turut mengakui sebagai pengguna yang setia berbelanja di Jualan Madani kerana bukan sahaja mendapat barangan yang lebih murah, tetapi juga segar dan pelbagai pilihan.

Beliau yang menjaga dua abang orang kurang upaya (OKU) berkata, beliau memilih untuk membeli ikan selar yang dijual dengan harga 50 sen seekor serta beberapa barangan lain yang masih murah berbanding harga pasaran.

"Saya juga beratur untuk membeli beras tempatan, tetapi rupa-rupanya ia diberikan secara percuma kepada pengunjung terawal, dan saya antara yang beruntung menerimanya. Duit yang sepatutnya digunakan untuk membeli beras kini dapat digunakan untuk membeli sayur-sayuran dan buah-buahan," kata beliau yang bekerja sendiri.

Antara barangan keperluan yang dijual pada harga murah di Jualan Termurah Madani ialah telur ayam, pelbagai jenis ikan, sayur-sayuran, buah-buahan, tepung gandum, dan beras.

Pelbagai hasil laut ditawarkan pada harga berpatutan, antaranya ikan selar yang dijual pada harga 50 sen seekor, ikan siakap RM5 seekor, ikan bawal RM25 sekilogram, ketam RM23 sekilogram, dan sotong RM20 sekilogram.

Lebih menarik, setiap pengunjung yang membeli barangan bernilai RM50 ke atas akan menerima seekor ayam secara percuma, dengan 1,000 ekor ayam disediakan untuk pengunjung. Selain itu, 200 pengunjung terawal turut diberikan beras tempatan pek 10 kilogram setiap seorang. - Bernama


https://www.sinarharian.com.my/article/700946/berita/nasional/harga-beras-import-dari-india-berjaya-diturunkan-hasil-rundingan-bersama---pm


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

26-12-2024 11:49 PM GMT+8 , Processed in 0.043892 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list