Jualan termurah MADANI Pulau Pinang meriah, pengunjung teruja beli barang jimat hingga 30 peratus
Oleh Bernama - Disember 7, 2024 @ 2:51pm
Orang ramai yang hadir membeli barangan pada Jualan Termurah MADANI di Kampung Masjid Timah, Permatang Pauh. - Foto DANIAL SAAD
BUKIT MERTAJAM: Program Jualan Termurah MADANI peringkat Pulau Pinang hari ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai yang ingin mendapatkan barangan keperluan dengan harga lebih murah.
Lebih menarik, Program Jualan Termurah MADANI yang diadakan di Kampung Masjid Timah, Permatang Pauh di sini, turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang meluangkan masa kira-kira 30 minit di program tersebut turut menyempurnakan Peluncuran Serentak Jualan Termurah MADANI bagi Zon Utara, Zon Selatan dan Zon Tengah.
Seorang pengunjung, Mohd Razali Desa, 52, berkata beliau tidak melepaskan peluang untuk membeli di Jualan MADANI yang diadakan di sekitar Permatang Pauh kerana barangan yang dijual lebih murah berbanding harga pasaran di pasar raya atau pusat beli-belah.
Katanya, beliau dapat berjimat sehingga 30 peratus apabila membeli di Jualan MADANI dan berharap program jualan seperti ini dapat diteruskan dengan lebih kerap di seluruh kawasan supaya orang ramai dapat membeli barangan dengan harga murah.
"Hari ini, banyak barangan yang murah seperti ikan, telur, dan beras. Malah, buah-buahan juga murah, seperti buah longan yang hanya RM7 sekilogram. Kami dapat berjimat banyak dan berharap program ini dapat diteruskan," katanya kepada Bernama.
Norhayati Jamail, 39, pula berkata, beliau dapat berjimat lebih banyak hari ini kerana barangan, terutamanya hasil laut, dijual dengan harga yang lebih murah berbanding harga pasaran. Malah, dengan pembelian RM50 ke atas, pelanggan berpeluang mendapat seekor ayam secara percuma.
"Saya beli ikan, sotong, ketam, dan udang, semuanya sangat murah hari ini. Saya juga membeli bahan-bahan kering untuk memasak. Barangan yang dibeli ini boleh digunakan sehingga dua minggu, jadi saya dapat berjimat," katanya.
Chan Cee Woon, 50, turut mengakui sebagai pengguna yang setia berbelanja di Jualan MADANI kerana bukan sahaja mendapat barangan yang lebih murah, tetapi juga segar dan pelbagai pilihan.
Beliau yang menjaga dua abang Orang Kurang Upaya (OKU) berkata, beliau memilih untuk membeli ikan selar yang dijual dengan harga 50 sen seekor serta beberapa barangan lain yang masih murah berbanding harga pasaran.
"Saya juga beratur untuk membeli beras tempatan, tetapi ia diberikan secara percuma kepada pengunjung terawal, dan saya antara yang beruntung menerimanya. Duit yang sepatutnya digunakan untuk membeli beras kini dapat digunakan untuk membeli sayur-sayuran dan buah-buahan," katanya yang bekerja sendiri.
Antara barangan keperluan yang dijual pada harga murah di Jualan Termurah MADANI ialah telur ayam, pelbagai jenis ikan, sayur-sayuran, buah-buahan, tepung gandum, dan beras.
Pelbagai hasil laut ditawarkan pada harga berpatutan, antaranya ikan selar yang dijual pada harga 50 sen seekor, ikan siakap RM5 seekor, ikan bawal RM25 sekilogram, ketam RM23 sekilogram, dan sotong RM20 sekilogram.
Lebih menarik, setiap pengunjung yang membeli barangan bernilai RM50 ke atas akan menerima seekor ayam secara percuma, dengan 1,000 ekor ayam disediakan untuk pengunjung. Selain itu, 200 pengunjung terawal turut diberikan beras tempatan pek 10 kilogram setiap seorang. – BERNAMA
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/12/1333986/jualan-termurah-madani-pulau-pinang-meriah-pengunjung-teruja-beli
|