ANTARA 203 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dalam Op Noda Khas yang dilancarkan polis Johor bermula Jumaat lalu hingga semalam. FOTO Ihsan PDRM
Johor Bahru: Seramai 203 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dalam Op Noda Khas yang dilancarkan polis Johor bermula Jumaat lalu hingga semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, operasi itu mensasarkan pembanterasan aktiviti pelacuran, wanita pelayan pelanggan (GRO) dan elemen kongsi gelap di premis pusat hiburan.
Menurutnya, sepanjang tempoh operasi, sebanyak enam pusat hiburan di sekitar daerah Johor Bahru Selatan, Johor Bahru Utara, Iskandar Puteri dan Seri Alam diserbu.
"Hasil serbuan yang dijalankan berjaya menangkap seramai 189 orang iaitu 11 lelaki warga tempatan, seorang wanita tempatan, 16 lelaki warga asing dan 161 wanita warga asing berusia antara 18 tahun hingga 63 tahun atas pelbagai kesalahan.
"Hasil ujian saringan awal air kencing ke atas pelanggan mendapati 16 orang lelaki tempatan dan 12 wanita warga asing positif dadah," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, pelbagai peralatan termasuk telefon bimbit, resit bayaran, mikrofon, pembesar suara, pemain MP3 & DVD, amplifier, alat kawasan jauh, kain selempang dan wang tunai berjumlah RM2,510 dirampas untuk tujuan siasatan.
Sementara itu, dalam serbuan berasingan di sebuah pusat hiburan yang diserbu, polis turut menahan 14 individu yang terdiri dari enam lelaki tempatan, seorang wanita tempatan, seorang lelaki warga asing dan enam wanita warga asing kerana bermain judi.
Katanya, polis turut merampas wang tunai sebanyak RM83,100 termasuk peralatan bermain judi.
Pada masa sama, Kumar berkata, bermula Januari lalu hingga semalam, sebanyak 388 serbuan di pusat hiburan di seluruh negeri ini dilancarkan dengan penahanan seramai 1,910 orang iaitu 211 warga tempatan dan 1,699 warga asing yang terbabit dengan pelbagai kesalahan di dalam pusat hiburan yang diserbu.
|