Kuala Pilah: Warga emas ditahan selepas disyaki menipu pasangan suami isteri berhubung urusan penjualan pisang dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) membabitkan kerugian RM30,800, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Abd Gani berkata, penahanan warga emas berusia 63 tahun itu susulan laporan diterima daripada mangsa pada hari sama.
Katanya berdasarkan siasatan, beberapa bulan lalu, suspek ke kebun mangsa untuk meminta kerja sebelum diberi upah RM100 sehari untuk mesin rumput, dan RM60 bagi setengah hari bagi membantu kerja berkaitan di kebun itu.
"Pada msa sama, suspek menjadi orang tengah untuk urusan menjual pisang dari kebun mangsa dan Toyota Innova milik mangsa.
"Bagaimanapun, selepas dua bulan suspek tidak memberikan wang hasil jualan berkenaan kepada mangsa dengan memberikan pelbagai alasan sebelum bertindak melarikan diri," katanya hari ini.
Katanya seminggu sebelum suspek melarikan diri, dia dikatakan memberikan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) kepada mangsa, namun kad berkenaan tidak lagi aktif.
"Suspek direman sehari bagi melengkapkan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
Sebelum itu tular di Facebook satu perkongsian mengenai kes penipuan selepas pasangan suami isteri itu meminta bantuan orang ramai bagi mengesan warga emas berkenaan.
Menerusi perkongsian itu, mereka meluahkan rasa kecewa apabila niat untuk membantu lelaki berkenaan bertukar sebaliknya sehingga mengalami kerugian bernilai RM30,800.
|