CHUA Yun Cheng dituduh membunuh seorang warga emas dibawa ke Mahkamah Majistret Kulai FOTO Izz Laily Hussein
Kulai: "Apa tu? Saya tidak faham," kata penganggur, Chua Yun Cheng, 34, selepas pertuduhan bunuh terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
Tertuduh yang didakwa membunuh seorang warga emas kemudian dibacakan semula pertuduhan untuk kali kedua sebelum bertanya 'Chin atau Tan?' dan memberitahu, 'saya tidak bunuh'.
Jurubahasa kemudian membaca semula kertas pertuduhan bersama hukuman bagi Seksyen 302 Kanun Keseksaan, sebelum tertuduh bertanya lagi, 'apa itu 12 kali?'.
Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh Chin Lin Fook, 67, di ruang tamu sebuah rumah di Jalan Murni, Taman Bahagia, Senai, di sini, jam 12.43 tengah malam, 27 November lalu.
Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dihukum dengan sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Othman Affan Ismail, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 7 Januari depan bagi serahan laporan kimia, bedah siasat serta forensik dan tiada jaminan dibenarkan terhadap tertuduh.
Pada 30 November lalu, polis menerima maklumat penemuan mayat seorang warga emas yang tinggal berseorangan di sebuah rumah dengan kesan tikaman dan terbaring berlumuran darah.
Ketua Polis Daerah Kulai Asisten Komisioner Tan Seng Lee dilaporkan berkata, hasil pemeriksaan ke atas mangsa menemukan kesan tikaman dipercayai menggunakan objek tajam.
Pada kenyataan media hari ini, Tan berkata, pada 3 Disember lalu, pihaknya menahan seorang lelaki di rumah lelaki terbabit, di Senai.
"Polis turut merampas sebilah pisau yang disyaki digunakan ketika kejadian. Motif kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara lelaki itu dengan mangsa," katanya.
Lelaki warga tempatan itu kemudian direman tujuh hari sebelum dituduh di mahkamah, hari ini.
|