Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman menyempurnakan Perbarisan Penganugerahan Pingat PNBB dan Pembubaran MALBATT 850-11 di Padang Kawad Pusat Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Port Dickson: Pasukan Malaysian Batalion (Malbatt) 850-12 akan meningkatkan kesiapsiaagaan dan kewaspadaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan dalam melaksanakan misi di Lubnan.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata, mereka memulakan misi secara rasmi pada 14 November 2023 lalu selepas kepulangan kontinjen Malbatt 850-11.
"Sejak Oktober tahun lalu, ketegangan antara Israel, Hamas dan Hizbullah telah memberi impak kepada operasi di kawasan tanggungjawab UNIFIL.
"Oleh itu, pergerakan pasukan (Malbatt 850-12) terpaksa dihadkan bagi memastikan keselamatan anggota sentiasa terpelihara," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Perbarisan Penganugerahan Pingat PNBB dan Pembubaran Malbatt 850-11 di Pusat Asas Tentera Darat (Pusasda), di sini, hari ini.
Menurutnya, penugasan harian Malbatt 850-12 adalah melaksanakan operasi pengaman bagi mengawal dan mengurangkan ketegangan konflik, menyokong serta membantu Angkatan Tentera Lubnan (LAF) melalui pelaksanaan operasi dan latihan ketenteraan.
"Pasukan ini juga memberikan perlindungan dan bantuan kemanusiaan kepada penduduk tempatan berdasarkan arahan yang dikeluarkan oleh Markas Sektor Barat UNIFIL.
"Secara keseluruhan, kehadiran Malbatt 850-11 sebelum ini diterima baik oleh masyarakat tempatan sekali gus mencerminkan kejayaan koloborasi antara pasukan pengaman dan komuniti setempat.
"Apa yang penting, di kawasan tanggungjawab Malbatt 850-12 masih terkawal dan selamat, malah pasukan akan terus meningkatkan kesiapsiagaan dan kewaspadaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.
Disiarkan pada: Disember 12, 2024
|