Banjir: 353 premis rosak, KEMAS rugi RM6 juta
Oleh Noorazura Abdul Rahman - Disember 14, 2024 @ 3:31pm [email protected]
Mohd Hanafiah ketika meninjau kesan banjir di TABIKA KEMAS Alor Gunung di sini, hari ini. - Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman
ALOR SETAR: Sejumlah 353 premis Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di seluruh negara mengalami kerosakan membabitkan kerugian kira-kira RM6 juta akibat banjir yang melanda sejak November lalu.
Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd Hanafiah Man, berkata daripada jumlah itu premis yang terjejas merangkumi 339 premis Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) dan Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA), 11 premis pendidikan kemahiran dan tiga Pusat Kegiatan Masyarakat (PKM).
Katanya, ia membabitkan lapan negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor dan Sarawak.
"Bencana banjir ini sedikit sebanyak menjejaskan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) membabitkan 7,673 kanak-kanak TABIKA dan TASKA dan 855 kakitangan KEMAS di negeri terbabit terutama di Kelantan dengan kerosakan yang agak serius berbanding negeri lain.
"Di Kelantan, sebanyak 212 premis terjejas banjir diikuti Terengganu membabitkan 96 premis dan Kedah sebanyak 19 premis.
"Kita sudah menggerakkan Skuad Ihsan Madani di seluruh negeri untuk melaksanakan misi bantuan banjir, termasuk kerja pembersihan premis dan kediaman yang terjejas. Keutamaan kami adalah memastikan operasi premis KEMAS dapat disambung seperti biasa dengan segera," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat premis terjejas banjir di TABIKA KEMAS Alor Gunung di sini, hari ini.
Mohd Hanafiah berkata, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sudah mengarahkan permohonan mendapatkan bajet baik pulih untuk premis KEMAS yang terbabit.
Sementara itu, Mohd Hanafiah berkata, pihaknya bersama KKDW sedang mengusahakan sesuatu supaya program pra tahfiz yang dilaksanakan di TABIKA KEMAS ketika ini dapat diteruskan kepada pelajar meskipun mereka sudah menginjak ke sekolah kebangsaan.
"Antara langkah yang difikirkan termasuk membenarkan anak-anak itu dihantar ke TABIKA berkenaan pada waktu petang bagi menyambung kelas tahfiz yang sudah mereka ikuti di situ," katanya.
Setakat ini terdapat lebih 4,000 TABIKA KEMAS di seluruh negara yang menawarkan program berkenaan dengan jumlah itu dijangka akan meningkat lebih sekali ganda pada tahun depan.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/12/1336911/banjir-353-premis-rosak-kemas-rugi-rm6-juta
|