ALBUM: Sebahagian yang terlibat dalam Kem Aspirasi Bakal Guru 2024 yang diadakan di Kem Pinawantai, Kudat.
KUDAT: Program Kem Aspirasi Bakal Guru 2024 anjuran Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah diadakan selama tiga hari bermula 13 hingga 15 Disember di Kem Pinawantai, Kudat.
Program itu bertujuan melatih bakal guru dalam memperkukuhkan kemahiran kokurikulum, kepimpinan dan kerjasama, selain memberi pengalaman praktikal dalam mengelola aktiviti secara langsung.
Dekan Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS), Profesor Madya Dr. Soon Singh, berkata program ini menunjukkan komitmen UMS dalam melahirkan pendidik berkualiti tinggi yang holistik dan bersedia menghadapi cabaran pendidikan moden.
"Inisiatif ini penting untuk membentuk pendidik yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga memiliki kemahiran kepimpinan serta komunikasi yang berkesan.
"Selain itu, program ini juga memberikan ruang kepada bakal guru untuk membina keyakinan diri, memperkukuhkan profesionalisme, dan mengasah kemahiran sosial mereka. Ia juga menanamkan semangat kerjasama yang amat diperlukan dalam profesion perguruan, " katanya.
Dalam pada itu, Penyelaras kursus Pengurusan dan Pengelolaan Kokurikulum, Dr. Frederick Josue @ Mohd Fadhil Abdullah memberitahu pelbagai aktiviti telah dirancang rapi bagi memberi impak menyeluruh kepada peserta terlibat.
"Antaranya adalah latihan kepimpinan, pembinaan pasukan (team building), dan simulasi pengurusan aktiviti kokurikulum yang melibatkan pendekatan praktikal serta interaksi komuniti.
"Kem ini juga melibatkan tenaga pengajar berpengalaman seperti Dr. Hasnol Noordin (Ketua Program Sains Sukan) dan Profesor Madya Dr. Mohd Rozilee Wazir yang memberikan bimbingan secara langsung kepada peserta sepanjang program berlangsung, " katanya.
Program yang diadakan ini telah disertai oleh kira-kira 106 pelajar DPLI FPPS UMS dengan sokongan penuh daripada Ahli Jawatankuasa Pelaksana (AJK) serta Pusat Kokurikulum Pinawantai, Kudat, Sabah.
Dengan pendekatan yang menyasarkan pembangunan holistik dalam kalangan bakal guru, Kem Aspirasi Bakal Guru 2024 diharap dapat menjadi contoh program latihan kokurikulum yang berkesan untuk masa hadapan, sekaligus memperkukuh profesion perguruan negara.
|