Mordi (dua kanan) bersama Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii (kiri), Steven Sim (dua kiri) dan Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling menunjukkan RUU Ordinan Buruh Sarawak (Pindaan) 2024 yang diluluskan Dewan Rakyat.
KUCHING: Pindaan Ordinan Buruh Sarawak yang diluluskan Dewan Rakyat semalam bukti kesungguhan Kerajaan MADANI dalam memastikan keadilan dan hak pekerja Sarawak sejajar dengan pembangunan negeri ke arah menjadi negeri maju menjelang 2030.
Menyokong penuh pindaan tersebut, Ahli Parlimen Mas Gading Mordi Bimol berkata, ia akan memberi manfaat besar kepada hampir 1.5 juta pekerja di Sarawak.
Sehubungan itu, beliau berterima kasih kepada Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong yang komited dalam mengangkat kebajikan dan kesejahteraan tenaga kerja negara yang merupakan tulang belakang pembangunan negara melalui Rang Undang-Undang (RUU) Ordinan Buruh Sarawak (Pindaan) 2024.
“Pindaan ini adalah langkah penting dalam memperkasa pekerja di Sarawak dan memastikan hak mereka dilindungi tanpa diskriminasi.
“Namun saya ingin menegaskan pentingnya perhatian diberikan kepada cabaran pelaksanaan, penguatkuasaan dan pemantauan terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak yang sukar diakses.
“Ramai pekerja di kawasan ini tidak sedar tentang hak mereka, menjadikan mereka mudah dieksploitasi,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya semalam.
Bagi memastikan pekerja tidak dieksploitasi, Mordi mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan unit bergerak atau platform digital mesra pengguna untuk menyampaikan maklumat kepada pekerja di kawasan pedalaman.
Beliau turut mencadangkan supaya latihan diberikan kepada majikan luar bandar agar mereka memahami tanggungjawab di bawah ordinan itu.
Selain itu kata Mordi, kempen kesedaran yang lebih aktif dan efektif menggunakan medium tempatan seperti radio dan perjumpaan komuniti juga harus diadakan.
Bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan ordinan itu, kerajaan kata Mordi juga perlu mengukuhkan mekanisme pemantauan, termasuk audit berkala terhadap tempat kerja, terutama dalam sektor perladangan.
Kemudahan asas dan tempat tinggal pekerja juga mesti mematuhi piawaian kebersihan dan keselamatan minimum agar kebajikan pekerja-pekerja di sektor ini turut diberikan perhatian.
“Saya yakin dengan pelaksanaan yang teliti dan kerjasama semua pihak, RUU Ordinan Buruh Sarawak (Pindaan) 2024 akan membawa manfaat besar kepada pekerja dan majikan serta menyumbang kepada kemajuan sosial dan ekonomi Sarawak,” katanya.
|