|
Pempengaruh sosial Malaysia ditahan di Taiwan
https://www.bharian.com.my/dunia ... a-ditahan-di-taiwan
Disember 19, 2024 @ 12:03pm
Pihak berkuasa mengesahkan bahawa individu yang ditahan adalah orang yang sama, dikenali sebagai Hu Chang Mun, yang kini dalam tahanan. - Gambar Instagram
TAIPEI: Seorang pempengaruh sosial warga Malaysia baru-baru ini ditahan polis Taiwan selepas pada mulanya dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan di Taiwan.
ETtoday News melaporkan, pada 11 Disember lalu, Balai Polis Yuanlin di Daerah Changhua menahan seorang pempengaruh sosial Malaysia berusia 31 tahun dengan nama keluarga yang sama dengan individu yang dilaporkan hilang itu.
Pempengaruh sosial itu didakwa bekerja sebagai keldai wang untuk sindiket penipuan ketika lawatannya ke Taiwan.
Pihak berkuasa mengesahkan, individu yang ditahan ialah orang yang sama, dikenali sebagai Hu Chang Mun, yang ditahan sejak itu.
Chang Mun dilaporkan terbabit dalam penipuan pelaburan yang menyasarkan seorang wanita Taiwan berusia 40 tahun.
Wanita terbabit dilaporkan menjadi mangsa skim penipuan itu selepas menyertai 'platform pelaburan dengan keuntungan terjamin' di media sosial. Dia mengalami kerugian kewangan yang besar dan membuat laporan polis selepas menyedari dirinya ditipu.
Pada 11 Disember lalu, ketika pertemuan ketiga dengan Chang Mun untuk menyerahkan NT$2 juta (kira-kira RM276,000), polis bertindak campur tangan dan menangkapnya di tempat kejadian.
Chang Mun yang memakai sut dan berkaca mata, kelihatan terkejut dan bingung ketika penahanannya. Pegawai terus merampas wang tunai, telefon kerja dan bukti lain yang berkaitan.
Chang Mun mendakwa dirinya sebagai seorang pempengaruh sosial Malaysia yang melancong ke Taiwan di bawah program kemasukan tanpa visa.
Dia menyatakan yang dirinya tidak menyedari menjadi sebahagian daripada sindiket penipuan, mendakwa diberitahu yang dia boleh mendapatkan wang ketika dalam perjalanan, dengan penginapan percuma dan makanan disediakan.
Selepas disoal siasat, polis mendakwa Chang Mun atas kesalahan penipuan, pengubahan wang haram dan pelanggaran undang-undang perbankan. Dia masih dalam tahanan sementara menunggu siasatan lanjut.
Laporan sebelum ini mendedahkan yang Chang Mun disyaki melancong ke luar negara dengan 'lelaki misteri'. Dia menghantar mesej kepada ibu bapanya, memaklumkan mereka akan melanjutkan tempoh tinggal di luar negara, namun hilang tidak lama selepas itu.
Ibu bapanya yang amat bimbang mengadakan sidang akhbar, merayu supaya anak mereka selamat pulang.
Susulan pengesahan identiti Chang Mun, pihak berkuasa Taiwan segera memaklumkan kepada Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|