|
Sinar Harian
16 Januari 2025

Persaingan antara pengilang menyebabkan harga belian padi tidak konsisten yang ada ketikanya dibeli pada harga RM1,300 hingga RM1,700/tan.
ALOR SETAR - Harga belian padi ditentukan pengilang mengikut kemampuan masing-masing berdasarkan penetapan harga lantai ditetapkan kerajaan iaitu RM1,300 bagi setiap tan.
Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar berkata, pengilang sentiasa berlumba-lumba menawarkan harga terbaik agar petani menghantar padi mentah ke kilang mereka.
Namun persaingan antara pengilang menyebabkan harga belian padi tidak konsisten dan boleh naik sehingga RM1,700 satu tan.
“Pengilang lawan harga sesama mereka, tak ada kaitan dengan kerajaan. Kerajaan hanya menetapkan harga lantai, itulah prosedur sejak dahulu. Maksudnya kilang tak boleh beli bawah daripada harga RM1,300 satu tan.
“Baru-baru ini ada kilang beli sehingga RM1,800 satu tan. Bukan kerajaan yang arahkan beli pada harga tertentu, kilang hanya perlu patuhi syarat tidak boleh rendah daripada RM1,300 satu tan,” katanya kepada Sinar Harian.
Jelas Mahfuz, permainan harga tersebut ditentukan oleh pemain industri terlibat khususnya pengilang.
“Harga belian padi ditentukan oleh pengilang sendiri, rendah atau tinggi terpulang kepada mereka dengan syarat memproses untuk jadikan harga beras RM2.60 sekilogram (kg).
“Mereka boleh beli padi pada berapa pun terpulang, dengan syarat harga beras kekal RM26 bagi sekampit 10kg sebab harga siling beras ditetapkan RM2.60 satu kg,” ujarnya.
l
Sehubungan itu, Mahfuz mengingatkan pengilang agar membuat pertimbangan sewajarnya dalam menetapkan harga belian padi tanpa menganiaya pesawah.
“Jangan peralatkan pesawah, tidak mustahil helah pengilang untuk menekan kerajaan naikkan harga beras. Dengan sendirinya bila harga beras naik, mereka boleh beli pada harga lebih tinggi.
“Pengilang sewajarnya konsisten dengan harga belian, jangan sesuka hati naikkan atau turunkan harga, ia tidak adil kepada pesawah mahupun kerajaan.
“Kalau sebelum ini beli RM1,700 satu tan, kekalkan harga tersebut, jangan berubah-ubah dalam tempoh singkat,” katanya.
Mahfuz turut mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan untuk menaikkan harga lantai padi dengan sedikit anjakan, dan pada masa sama membuat penetapan harga siling baharu beras.
“Kedua-dua aspek itu perlu selari, namun terpulang pada kerajaan untuk tetapkan harga paling sesuai, mungkin perlu lakukan kajian segera.
“Bagi saya sudah sampai masa kerajaan menetapkan harga siling baharu beras, harga beras wajar dinaikkan, tidak boleh lagi RM2.60 satu kg. Saya percaya kalau harga beras tempatan dinaikkan, pengilang mampu beli padi pada harga melebihi RM1,300,” katanya.
Menurut beliau, pengilang turut berdepan kesulitan untuk mengekalkan harga beras pada RM2.60 satu kg berikutan membeli padi pada harga tinggi.
“Jadi kerajaan sedang pertimbangkan pelbagai aspek secara menyeluruh. Kerajaan tak boleh sewenang-wenangnya naikkan harga siling kerana ia beri kesan kepada ramai pihak.
“Kita prihatin terhadap kos yang terpaksa ditanggung pesawah dan sedang meneliti isu-isu berkaitan. Saya harap kerajaan percepatkanlah tindakan. “Pesawah mahukan harga padi tinggi, pengguna pula mahu harga beras rendah, inilah antara isu yang jadi pertimbangan sebab kerajaan perlu melihat kepada skop lebih besar libatkan pelbagai peringkat,” ujarnya.
Pada Isnin, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan, kerajaan sedang meneliti untuk menaikkan harga lantai belian padi yang penetapannya sebelum ini diputuskan pada RM1,300 bagi setiap tan.
Mengulas mengenai pemberian subsidi RM500 kepada pesawah, Mahfuz berkata, ia membantu menambah pendapatan pesawah namun kos penanaman padi masih tinggi.
“Kalau pesawah jual padi RM1,300 maknanya dia akan dapat RM500 lagi tambahan (subsidi) menjadikan harga kepada RM1,800.
“Namun kos masih tinggi untuk tanam padi, kerajaan juga sedang teliti perkara ini.
“Harga belian padi tidak ada kaitan dengan masalah lain seperti pesawah lambat tanam padi atau berdepan cuaca buruk atau bencana,” ujarnya.
Sebelum ini, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) mendesak kerajaan supaya menaikkan harga lantai belian padi kepada RM1,800 bagi mengimbangi kenaikan kos.
|
|