Momen agak melucukan itu turut menjadi bahan gurauan warganet. - Foto Agensi
WASHINGTON - Gaya fesyen Wanita Pertama, Melania Trump antara yang mencuri tumpuan ketika majlis angkat sumpah jawatan suaminya pada Isnin.
Melania tampak elegan ketika menggayakan busana hasil rekaan pereka tempatan dari New York, Adam Lippes yang membawa imej keindahan demokrasi Amerika.
Tetapi, yang paling mencuri tumpuan adalah topi yang direka Eric Javits.
Ketika Presiden Donald Trump tiba di Capitol Rotunda, beliau cuba mencium pipi isterinya, namun terhalang dek bahagian topi tersebut yang agak lebar dan insiden sama berlaku sejurus beliau selesai mengangkat sumpah di hadapan Ketua Hakim, John Roberts.
Tidak lama selepas itu, platform media sosial dibanjiri komentar warganet yang cuba bergurau dengan menyatakan ia adalah topi yang sesuai untuk mengelakkan 'kemesraan di khalayak umum' dan ada juga yang mendakwa ia sebagai membawa 'mesej politik'.
Melania sering tampil dengan gaya glamor sejak penggal pertama pentadbiran suaminya pada 2017-21.
Fesyen dikenakan beliau hasil rekaan Ralph Lauren sebagai simbol memberi penghormatan kepada bekas Wanita Pertama, Jackie Kennedy ketika majlis angkat sumpah pada 2017 turut menjadi sorotan ramai. - Agensi
|