M Kumar. FOTO arkib NSTP
Johor Bahru: Polis menerima tiga laporan berhubung hantaran berbaur penghinaan terhadap agama Islam oleh dua pemilik akaun Facebook termasuk seorang selebriti tempatan.
Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata, tiga laporan itu diterima di Iskandar Puteri, Johor Bahru Utara dan Kluang.
"Polis Johor memandang serius serta memberi amaran sekeras-kerasnya terhadap mana-mana pihak yang memainkan sentimen 3R membabitkan raja, agama dan kaum di platform media sosial.
"Tindakan berkenaan boleh membangkitkan perpecahan keamanan serta menggugat keharmonian masyarakat.
"Tindakan tegas tanpa kompromi di bawah peruntukan undang-undang yang sedang berkuatkuasa akan diambil terhadap mana-mana individu yang dengan sengaja menggugat ketenteraman dan keselamatan awam.
"Setakat ini sebanyak tiga laporan polis telah diterima Polis Kontinjen Johor susulan aduan penghinaan terhadap agama Islam," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Kumar berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298 dan Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan selain Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Disiarkan pada: Januari 21, 2025
|