Edited by Vellfire at 7-2-2025 02:02 PM
LEE LAM THYE
KOTA KINABALU: Peningkatan penggunaan vape dan ketagihan dadah dalam kalangan murid sekolah dilihat sebagai trend membimbangkan yang menimbulkan ancaman serius kepada kesihatan, keselamatan dan masa depan mereka.
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (PIKS) Tan Sri Lee Lam Thye berkata, isu ini memerlukan tindakan segera dan bersepadu oleh ibu bapa, pendidik, komuniti dan penggubal dasar untuk melindungi anak-anak dan menyediakan mereka dengan persekitaran yang sesuai untuk berkembang dan meraih kejayaan.
“Tindakan perlu diambil bagi memastikan murid sekolah tidak terdedah dengan risiko kesihatan berikutan pengambilan vape yang sering dipasarkan sebagai alternatif yang lebih selamat daripada merokok sebenarnya adalah juga bahan yang berbahaya.
“Penyelidikan menunjukkan bahawa ia boleh menyebabkan masalah pernafasan yang teruk, boleh menyebabkan kerosakan kardiovaskular dan mewujudkan kesan ketagihan jangka panjang kepada nikotin,” katanya.
Sementara penggunaan dadah dalam kalangan murid sekolah katanya juga mempunyai kesan buruk terhadap kesihatan mental dan fizikal, yang membawa kepada terjejasnya perkembangan kognitif dan mewujudkan potensi risiko yang berlebihan.
“Ketagihan terhadap vape atau dadah sering mengakibatkan prestasi akademik yang lemah, masalah ketidakhadiran dan masalah tingkah laku di sekolah. Ini menjejaskan potensi kanak-kanak dan meningkatkan kemungkinan mereka untuk tercicir dari alam persekolahan.
“Perbuatan ini juga membuka laluan ke arah tabiat lebih berbahaya kerana vaping dan percubaan awal dengan bahan terlarang selalunya berfungsi sebagai pintu masuk kepada penggunaan dadah yang lebih berbahaya,” katanya.
Beliau berkata, tindakan mencegah tingkah laku sedemikian pada peringkat awal adalah penting untuk memecahkan kitaran ini. Katanya, akibat yang lebih luas daripada mengabaikan isu ini termasuk peningkatan kos penjagaan kesihatan, peningkatan kenakalan juvana dan terjejasnya tenaga kerja masa depan oleh masalah berkaitan ketagihan.
“Langkah berkesan untuk hentikan vape dan penagihan dadah dalam kalangan murid sekolah termasuklah penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas dengan mengharamkan penjualan dan promosi produk vape berhampiran sekolah.
“Ia termasuklah mengenakan penalti yang lebih berat terhadap peruncit yang menjual peranti vape atau dadah kepada golongan bawah umur selain memantau platform dalam talian untuk membanteras promosi tersembunyi dan jualan haram yang menyasarkan belia,” katanya.
Menurutnya, usaha meningkatkan kempen pendidikam serta kesedaran juga mampu memperkenalkan pendidikan kesihatan yang menyeluruh dalam kurikulum sekolah yang menonjolkan bahaya vape dan dadah.
“Anjurkan bengkel dan seminar yang melibatkan profesional penjagaan kesihatan, bekas penagih dan pegawai penguatkuasa undang-undang untuk mendidik pelajar dan ibu bapa.
“Program intervensi awal termasuk melatih guru dan kaunselor untuk mengenal pasti tanda awal pengambilan vape atau penggunaan dadah dan berikan sokongan atau rujukan segera.
“Mewujudkan sistem pelaporan sulit di sekolah untuk menggalakkan pelajar mendapatkan bantuan tanpa rasa takut terhadap hukuman,” katanya.
Beliau berkata, apa yang penting ialah penglibatan ibu bapa dengan untuk mengadakan perbualan yang terbuka dan jujur dengan anak-anak mereka tentang bahaya ketagihan.
“Berikan sumber kepada ibu bapa untuk mengenali tanda-tanda vape atau penggunaan dadah dan membimbing mereka tentang cara menangani isu ini dengan berkesan.
“Dalam memperkukuh sokongan komuniti, jalinkan kerjasama dengan NGO dan kumpulan komuniti untuk menyediakan aktiviti selepas sekolah dan ruang selamat untuk kanak-kanak bagi menghalang mereka daripada melakukan tingkah laku yang berisiko.
“Menggalakkan pengaruh rakan sebaya yang positif melalui kelab sekolah dan program kepimpinan selain mengawal pengiklanan dan pemasaran dengan haramkan iklan mengelirukan yang menggambarkan vape sebagai bergaya ataupun tidak berbahaya juga mampu mencegah kegiatan ini kepada murid sekolah,” katanya.
Tambahnya, pihak berkuasa juga perlu menetapkan pembungkusan biasa untuk produk vape, sama seperti langkah kawalan tembakau, untuk mengurangkan daya tarikan pembungkusannya yang wujud dalam pelbagai bentuk masa kini.
“Usaha melindungi anak-anak sekolah kita daripada vape dan ketagihan dadah bukan sekadar tugas untuk sekolah atau kerajaan tetapi ia adalah tanggungjawab bersama untuk kita semua.
“Dengan menangani isu ini dengan segera, kita boleh menjaga kesihatan dan masa depan generasi muda kita.
“Marilah kita bertindak bersama-sama untuk mewujudkan persekitaran di mana setiap kanak-kanak boleh berkembang maju dan bebas daripada bahaya ketagihan,” katanya.
|