![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250211/kch-ub110225-jl-mancha-p1a.jpg)
KUCHING: Seorang lelaki mengalami kerugian RM300,000 setelah terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang ditawarkan dalam laman sosial.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata (gambar) berkata, pada penghujung Januari lepas, mangsa yang berusia awal 30-an dan merupakan seorang juruteknik sebuah syarikat di sini telah berkenalan dengan seorang wanita menerusi aplikasi dalam talian yang turut memperkenalkan skim pelaburan.
“Mangsa telah berminat dan kemudian mangsa diarahkan untuk masuk ke satu laman sesawang untuk menyertai pelaburan tersebut.
“Antara awal Januari 2025 dan awal Februari 2025, mangsa telah membuat beberapa pemindahan wang secara dalam talian keseluruhannya berjumlah lebih kurang RM300,000 ke beberapa akaun berbeza yang menjanjikan keuntungan lumayan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Mancha berkata, mangsa kemudian berhasrat untuk mengeluarkan wang pelaburannya, namun disuruh membuat pelbagai bayaran tambahan sekiranya mahu berbuat demikian.
Beliau berkata, mangsa menyedari ditipu selepas gagal mengeluarkan wang pelaburan serta tidak mendapatkan sebarang keuntungan pelaburan sebagaimana dijanjikan.
Mangsa seterusnya tampil membuat laporan polis untuk siasatan lanjut, kata Mancha.
“Kita menasihatkan orang ramai hanya melabur di platform yang berdaftar dengan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sahaja,” katanya.
Selain itu, orang ramai dinasihatkan agar membuat semakan senarai syarikat dan laman sesawang yang tidak diberi kebenaran atau kelulusan di laman sesawang www.bnm.gov.my/BNM telelink 1-300-88-5465 (Bank Negara Malaysia) dan www.sc.com.my/(03-62048999) (Suruhanjaya Sekuriti Malaysia).
“Mana-mana individu yang menjadi mangsa penipuan siber sekiranya baru sahaja membuat transaksi pemindahan wang ke mana-mana akaun bank atau eWallet suspek, dinasihatkan agar menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997.
“Orang ramai juga disarankan untuk memuat turun aplikasi Whoscall melalui Google Play Store atau Apple Store bagi membantu membuat keputusan sama ada mahu menjawab panggilan telefon yang diterima atau sebaliknya,” kata Mancha.
|