
Khemah-khemah yang menempatkan mangsa banjir di Sarawak telah mula dikosongkan berikutan keadaan banjir yang semakin pulih. - Gambar fail BERNAMA
KUCHING: Hanya sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih aktif di Sarawak, setakat jam 4 petang tadi.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), kesemua sembilan PPS itu adalah di empat bahagian iaitu Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.
“Daripada sembilan PPS berkenaan, tujuh adalah untuk menempatkan mangsa banjir manakala dua PPS bagi menempatkan mangsa tanah runtuh.
“Bagi mangsa banjir setakat ini ia melibatkan 253 ketua isi rumah (KIR) dengan 735 orang mangsa,” katanya.
Tambah Sekretariat, bagi mangsa tanah runtuh ia melibatkan 50 KIR dengan 202 orang mangsa.
Secara keseluruhan, sebanyak 303 KIR dengan 937 orang mangsa masih terjejas akibat banjir dan tanah runtuh di negeri ini.
Manakala setakat jam yang sama, terdapat tiga PPS diisytiharkan ditutup iaitu Balai Raya Sebauh di Bintulu, SMK Suai di Miri dan SMK Tatau di Bintulu.
|