Kejayaan dicapai kini hasil kerjasama perkhidmatan awam negeri dalam menjayakan usaha diinisiatifkan kerajaan

Abang Johari (empat kanan) mengetuai yang lain menggaul Yee Sang sebagai simbolik sambutan Tahun Baharu Cina 2025 Peringkat Pejabat Premier Sarawak. -Gambar PENERANGAN
“Saya perlu mengatakan di sini bahawa kejayaan setakat ini adalah hasil sokongan perkhidmatan awam di belakang kami (Kerajaan Sarawak).”
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg Premier Sarawak
Oleh Patricia Gari
KUCHING: Kerajaan Sarawak memerlukan idea strategik dan signifikan perkhidmatan awam negeri untuk memperkukuhkan lagi kejayaan dinikmati kini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata tidak dinafikan kejayaan dicapai kini, hasil usaha kerjasama perkhidmatan awam negeri sebagai satu pasukan dalam menjayakan usaha diinisiatifkan oleh kerajaan.
“Saya perlu mengatakan di sini bahawa kejayaan setakat ini adalah hasil sokongan perkhidmatan awam di belakang kami (Kerajaan Sarawak).
“Maka sekarang ini, kita memerlukan idea strategik yang signifikan dan penting untuk meningkatkan apa yang kita nikmati pada masa ini dan sudah tentu menjelang tahun 2030, kita dapat mencapai apa yang kita cita-citakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Jabatan Premier Sarawak yang berlangsung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Abang Johari menambah, perkhidmatan awam negeri atau SCS juga perlu bersedia menghadapi cabaran masa depan terutama dalam situasi yang tidak menentu.
SCS ujarnya perlu tangkas, bertindak dengan cepat, pada masa sama mesti berusaha mengatasi masalah yang sedang dihadapi tidak hanya di peringkat negeri tetapi global.
Sementara itu Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sambutan Tahun Baharu Cina Jabatan Premier Sarawak Datu Hii Chang Kee berkata Sarawak sangat bertuah kerana mempunyai pemimpin yang berwawasan tinggi seperti Abang Johari.
“Rakyat Sarawak sangat bertuah kerana mempunyai Premier seperti Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang sentiasa dan terus mengungguli ekonomi baharu untuk Sarawak menjelang 2030.
“Di bawah bimbingan beliau, kita telah menyaksikan kejayaan membanggakan dalam transformasi digital, tenaga hijau dan kelestarian ekonomi - memastikan Sarawak kekal di hadapan dalam pembangunan serta inovasi,” kata Hii.
Beliau menambah, komitmen Abang Johari untuk merangkum dan memperkasakan ekonomi semua komuniti mencerminkan semangat serta aspirasi sebenar Tahun Baharu Cina 2025.
Hadir sama Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, menteri-menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, timbalan-timbalan menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik serta ketua-ketua jabatan.
|