![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250212/kesmahkamah.jpg)
SIBU: Seorang lelaki dikenakan hukuman denda RM4,200 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret setelah mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang warga emas.
Majistret Oon Kork Chern menjatuhkan hukuman itu setelah mendengar serta menerima pengakuan bersalah tertuduh yang dikenali sebagai Robin Barayun, 42.
Robin terdahulu didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut hendak membunuh seorang warga emas berusia 67 tahun di sebuah rumah di Lorong Utara 8A, Jalan Sentosa Salim pada 7 Februari 2025, lebih kurang jam 6.30 petang.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan hendaklah dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan fakta kes, pada 7 Februari 2025 jam 6.30 petang di pekarangan rumah pengadu di Lorong Utara 8A, Jalan Sentosa Salim, tertuduh telah menghampiri orang tua pengadu dalam keadaan marah serta menuduh mereka campur tangan dalam hal peribadinya.
Namun ayah pengadu menafikan campur tangan atau berkata mengenai hal peribadi tertuduh.
Apabila tertuduh mendengar ayah pengadu meminta pengadu menghubungi pihak polis, tertuduh marah serta mengeluarkan kata ugutan 'Enti aku pansut ari jail, bunuh aku apai dik' kepada pengadu.
Sambil menuding jari ke arah ayah pengadu, tertuduh turut mengeluarkan kata ugutan 'Dik tetap mati ba jari aku'.
Tertuduh kemudian ditahan pada 7 Februari 2025, kira-kira jam 10.45 malam di rumahnya.
|