
SIBU: Gara-gara memiliki kad pengenalan (KP) orang lain tanpa sebab yang munasabah, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh, Hafiz Dollah, 30, turut dijatuhi hukuman penjara dua bulan bagi pertuduhan gagal mengemukakan KP ketika diperiksa oleh pihak polis.
Hafiz didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu pada 5 Januari 2025, kira-kira jam 10.50 malam di tepi Jalan Tuanku Osman.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Peraturan 25(1)(o) dan Peraturan 25(1)(n), Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan fakta kes, pada 16 Disember 2024 jam 4.38 petang di sebuah kedai telefon Jalan Market, pengadu mendapati telefon bimbit jenama Samsung yang disimpan dalam kabinet kaca telah dicuri.
Pada 5 Januari 2025 jam 10.50 malam, bertindak atas maklumat pihak polis telah menahan seorang lelaki iaitu tertuduh di tepi Jalan Tuanku Osman untuk pemeriksaan.
Ketika diminta mengemukakan kad pengenalan, tertuduh cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap.
Pemeriksaan pihak polis telah menemui dompet dalam saku belakang kiri seluar tertuduh yang mengandungi tiga kad pengenalan milik orang lain.
Tertuduh juga gagal memberi penjelasan yang munasabah bagi pemilikan kad pengenalan tersebut.
Pada 6 Januari 2025, lebih kurang jam 12 tengah hari, tertuduh telah memandu arah pihak polis ke sebuah kedai di Lebuh Tinggi tempat dia menggadaikan telefon bimbit jenama Samsung.
Hafiz diperintah menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia direman iaitu 9 Januari lalu.
|