
NAIK TARAF: Jalan menuju ke Gereja SDA Mantob yang dilihat rosak teruk dan perlu dinaik taraf.
KIULU: Penduduk Kampung Mantob Tengah, di sini merayu supaya kerajaan membaiki dan menaiktaraf jalan menuju ke kawasan Gereja SDA Mantob yang semakin rosak teruk sejak berpuluh tahun lamanya.
Penduduk, Gundohing Justin Gosibin berkata penduduk kampung di sini sudah lama menantikan jalan sepanjang setengah kilometer itu dinaik taraf.
Katanya, waktu musim kemarau jalan berkenaan akan berhabuk, manakala waktu hujan pula ia akan berlopak dan menyukarkan perjalanan penduduk ke gereja.
“Saya sendiri sudah bersabar dan berdiam diri selama berpuluh tahun, namun sehingga kini tiada tanda-tanda jalan kampung ini ke gereja dinaik taraf.
“Justeru, saya bersama penduduk kampung merayu supaya wakil rakyat dan kerajaan negeri dapat mendengar keluhan rakyat di sini sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang,” katanya.
Sementara itu, mantan Ketua Kampung Mantob, Midin Lobintang berkata, beliau pernah menyenaraikan jalan ke Gereja SDA Mantob ini supaya dinaik taraf dan untuk keselesaan murid sekolah.
Namun, katanya, jalan ini hanya diletak batu kelikir dan saya difahamkan pemimpin kampung juga sudah menghantar permohonan naik taraf kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah.
“Malangnya, sehingga ke hari ini masih belum ada tanda jalan berkenaan mahu dinaik taraf oleh pihak bertanggungjawab.
“Jalan simpang ke Gereja SDA Mantob ini tidak pun sampai satu kilometer, tetapi susah sangat dinaik taraf,” katanya.
Midin berharap dengan jumlah peruntukan yang besar untuk pembangunan di Sabah tahun ini, kampung Mantob dapat menerima sedikit tempias limpahan pembangunan yang dirancang.
Sementara itu, Naib presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Henry Saimpon turut menyatakan sokongan penuh rayuan penduduk kampung Mantob itu.
Katanya rayuan penduduk kampung memang ada asasnya dan jalan masuk kampung yang dipohon untuk diturap pun tidak sampai satu kilometer.
“Inilah masanya untuk membuktikan kejayaan slogan Sabah Maju Jaya (SMJ) dan bukan sekadar permainan kata-kata di bibir mulut sahaja,” katanya.
|