Edited by Vellfire at 16-2-2025 09:24 AM

ALBUM: Ewon merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian usahawan yang menerima geran daripada TEKUN sempena majlis itu.
MEMBAKUT: Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional menyasarkan penyaluran pembiayaan kepada 5,000 usahawan di Sabah tahun ini dengan nilai peruntukan sebanyak RM125 juta.
Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, sejak diwujudkan pada 1998 sehingga Disember 2024, TEKUN Nasional berjaya menyalurkan pembiayaan perniagaan kepada 593,605 usahawan yang bernilai RM10.07 billion di seluruh negara.
Menurutnya, bagi wilayah Sabah, TEKUN Nasional menyalurkan sejumlah RM1,159 billion kepada 65,242 orang usahawan bagi tempoh yang sama melalui 26 Pejabat TEKUN termasuk pejabat negeri di sekitar Sabah.
Katanya, pembukaan pejabat TEKUN Cawangan Kimanis di lokasi yang baharu ini adalah sebagai langkah memperkukuhkan kedudukan serta memberi manfaat kepada para usahawan bagi kawasan setempat khususnya Kimanis.

KENANGAN: Ewon merakamkan gambar album bersama sebahagian yang hadir pada perasmian Pejabat TEKUN Cawangan Kimanis di Pekan Membakut Jaya.
"Saya dimaklumkan Pejabat TEKUN Cawangan Kimanis ini adalah pejabat ke 175 yang mula beroperasi pada 2 September 2024 dan diharap penduduk Kimanis boleh membuat pembiayaan di pejabat ini tanpa perlu ke Beaufort lagi.
"Dengan pembukaan pejabat ini, lebih ramai usahawan akan dapat menerima manfaat dan TEKUN akan mempertingkatkan usaha untuk membantu lebih ramai usahawan di kawasan ini bagi meningkatkan taraf hidup yang lebih baik.
"Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada pihak TEKUN Nasional atas pencapaian yang ditunjukkan. Saya amat berbangga atas usaha-usaha yang dilaksanakan oleh TEKUN Nasional dalam membangunkan usahawan selama ini," katanya semasa berucap merasmikan Pejabat TEKUN Cawangan Kimanis di Pekan Membakut Jaya di sini hari ini.
Beliau berkata, pencapaian itu membuktikan TEKUN Nasional amat relevan dan menjadi pilihan akses pembiayaan dalam kalangan usahawan informal dan mikro di negara ini.
Ewon berkata, TEKUN Nasional akan terus komited dalam membantu usahawan informal dan mikro dalam menyediakan pembiayaan serta pembangunan usahawan.
"Ini adalah inisiatif penambahbaikan dalam penyampaian perkhidmatan dan saya yakin TEKUN Nasional akan terus cemerlang dalam memberikan perkhidmatannya kepada masyarakat terutama usahawan informal dan mikro di seluruh negara, " katanya. Pada majlis itu, Ewon berkesempatan menyampaikan Skim Pembiayaan TEKUN Nasional kepada 14 usahawan TEKUN di Kimanis (Membakut dan Bongawan) berjumlah RM190,000, bagi tahun ini.
Hadir sama, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut; Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin dan Pegawai Daerah Membakut, Ibrahim Terki.
|