![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250215/kch-ub150225-jw-ibrahim-p1.jpg)
Ibrahim (kanan) bersama Mancha (dua kanan) mengadakan lawatan ke tapak Jambatan Sungai Bintangor di Jalan Datuk Ajibah Abol, pada Jumaat. - Gambar UKAS
KUCHING: Laluan sehala di sebelah Jambatan Sungai Bintangor di Jalan Datuk Ajibah Abol di sini mula dibuka kepada pengguna jalan raya pada Jumaat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok Dato Ibrahim Baki berkata, pembukaan laluan itu akan memudahkan pergerakan penduduk kampung berulang-alik ke pusat bandar Kuching.
Memetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), beliau berkata, kerja-kerja pembinaan jambatan tersebut dijangka siap sepenuhnya menjelang Jun tahun ini, namun ia masih lagi bergantung kepada faktor cuaca.
"Pembukaan laluan pergi dan balik dari pusat bandar ke kampung telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dengan pematuhan kepada syarat-syarat yang ditetapkan
"Namun, pembukaan laluan sepenuhnya belum dilaksanakan memandangkan kerja-kerja pembinaan masih giat dilaksanakan dan ia oleh mengundang risiko kepada pengguna jalan raya," katanya ketika ditemui media, pada Jumaat.
Laluan itu dibuka mulai jam 5 pagi hingga 2 petang, namun ia ditutup semula pada jam 2 petang hingga 4.30 petang bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan dilakukan.
Bagaimanapun, ia dibuka semula bermula jam 4.30 petang hingga 10.30 malam untuk menangani kesesakan trafik pada waktu puncak.
Dalam pada itu, Ibrahim juga menyempurnakan majlis penyerahan Pondok Polis Muara Sungai Bintangor yang bertujuan meningkatkan tahap keselamatan dan kesejahteraan penduduk kampung.
Hadir sama, Pesuruhanjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata, Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri Ir Irwan Zulkarnain Muhammad Hasbie, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Abdul Samat Gany dan Residen Bahagian Kuching Dayang Joanita Azizah Abang Morshidi.
|