
Abang Johari bercakap pada sidang media di BCCK, hari ini. - Gambar Chimon Upon
KUCHING: Bangunan baharu pejabat Premier Sarawak di Petra Jaya dibina atas faktor keselamatan, kata Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Abang Johari berkata bangunan tersebut adalah untuk tujuan pejabat dan bukannya ‘White House’ seperti di Amerika Syarikat.
“Ia hanya pejabat bukan ‘White House’ sebab bangunan Wisma Bapa Malaysia terlalu mudah diakses.
“Sebab itu kita perlukan pejabat yang lebih selamat kerana semua rahsia kerajaan disimpan di situ,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Ke-16 Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Ditanya bila bangunan pejabat baharu ini akan dibuka, Abang Johari berkata ia belum siap lagi, malah belum diberikan nama rasmi.
“Bila dibuka saya tidak tahu dan saya serahkan kepada Setiausaha Kerajaan Sarawak sebab saya sendiri pun belum pernah ke sana,” katanya.
Terletak di hadapan Bulatan Datuk Amar Abang Haji Suleiman bin Haji Taha di Petra Jaya, bangunan pentadbiran baharu ini turut berdekatan dengan bangunan kerajaan yang lain iaitu Wisma Pelita, Wisma Sumber Alam, Wisma SESCO dan Pustaka Negeri Sarawak.
|