|
Maybank, CIMB masing-masing miliki kekuatan tersendiri\rPERSAINGAN untuk mengambil alih RHB Capital Bhd, iaitu syarikat induk kepada RHB Bank Bhd dijangka sengit dengan kedua-dua Malayan Banking Bhd (Maybank) dan CIMB Group Holdings Bhd memiliki kekuatan tersendiri untuk muncul sebagai pemenang.\r\n\n\n\n\r Penganalisis berpendapat dua kumpulan perbankan terbesar tempatan itu juga dilihat berada dalam kedudukan seimbang dalam persaingan berkenaan, bersandarkan aspek kelebihan kualiti dan kepakaran kumpulan pengurusan masing-masing yang sudah terbukti dalam mewujudkan rantaian nilai kepada pemegang saham dan pelanggan, di pasaran domestik dan antarabangsa.\r\r\n\n\n\n\n Kedua-duanya juga memiliki pengalaman dalam melaksanakan penggabungan dan pengambilalihan (M&A).\rNamun mengikut penganalisis, mana-mana pihak pun yang memenanginya, ia akan mengukuhkan kedudukan Malaysia di persada kewangan antarabangsa.\r“Penggabungan itu jika direalisasikan adalah langkah yang amat positif dalam meningkatkan lagi imej negara dalam sektor kewangan global,” kata Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan RAM Holdings Bhd, Dr Yeah Kim Leng.\r“Menerusinya, Malaysia tidak akan lagi ketinggalan di belakang negara jirannya yang lain dalam bersaing untuk menjadi peneraju sektor kewangan antarabangsa, khususnya dalam pasaran serantau.\r\n\n\n\n\r“Menerusi penggabungan ini, kita (Malaysia) akan memiliki kumpulan perbankan terbesar di Asia Tenggara dan pelabur antarabangsa sudah tentunya akan tertarik dengan kelebihan yang dimiliki negara, sekali gus berupaya merealisasikan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hab kewangan serantau,” katanya kepada Berita Harian semalam.\rBagi Maybank, jika ia berjaya dalam persaingan itu, ia bakal muncul kumpulan perbankan terbesar Asia Tenggara mengatasi DBS Bank Singapura. \rSebaliknya, andai CIMB Group bergabung dengan RHB Capital, ia menjadi kumpulan perbankan kedua terbesar di rantau ini di belakang DBS Bank.\rMengulas mengenai kekuatan yang dimiliki kedua-dua kumpulan perbankan utama negara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Azrul Azwar Ahmad Tajudin berpendapat, Maybank dilihat mempunyai keupayaan dalam mewujudkan hubungan sinergi yang baik.\r“Maybank sepadan dengan RHB Capital kerana kedua-dua pihak dilihat mampu mengukuhkan lagi kestabilan sektor perbankan tempatan dari segi nilai aset dan permodalan pasaran, selain berkebolehan dalam mewujudkan lebih banyak sinergi lain bermula dari aspek kekukuhan aset kewangan, jangkauan pasaran hinggalah kepada aspek ciptaan nilai terhadap pemegang saham dan kakitangannya,” katanya sambil menambah penggabungan antara kedua-dua kumpulan perbankan itu akan mewujudkan gabungan entiti yang memiliki nilai permodalan pasaran sekitar RM78.5 bilion.\rNamun, penganalisis lain sebuah firma penyelidikan ekuiti antarabangsa pula menyifatkan, penggabungan antara CIMB Group dengan RHB pula akan mewujudkan sinergi kukuh, khususnya dalam bidang perbankan pelaburan hinggalah kepada segmen perbankan pengguna. \r“Ia (penggabungan dengan RHB Capital) juga akan menyediakan peluang luas kepada CIMB Group untuk mengambilalih kedudukan Maybank sebagai peneraju perbankan di dalam negara dengan memiliki anggaran gabungan aset berjumlah sekitar RM405.4 bilion berbanding RM380.3 bilion yang dimiliki Maybank ketika ini,” katanya.\rDalam pada itu, Rachel Huang dari AmResearch berkata, jika Maybank memenangi persaingan itu, kumpulan perbankan itu dijangka perlu membayar sehingga RM11.98 bagi nilai sesaham RHB Capital bersandarkan kepada nisbah nilai buku (P/BV) pada 2.5 kali, dan juga bersandarkan kepada nilai buku RHB Capital RM4.79 sesaham pada akhir Mac lalu.\r“Andaikan pula CIMB Group mengambilalih RHB Capital pada P/BV 2.3 kali, ia menjadikan jumlah yang perlu dibayar kumpulan itu sebanyak RM11.02 untuk sesaham RHB Capital,” katanya.
[Posting Asal] [Kembali ke Berita Rakyat] [Pump!]
|
|