|
FHI jadikan model pemasangan tempatan untuk edaran, pasaran serantau\rFUJI Heavy Industries Ltd (FHI), pengeluar kenderaan Subaru yang berpangkalan di Shinjuku-ku, Tokyo, akan menjadikan Malaysia sebagai hab pemasangan dan pengedaran serantau bagi jenama kereta yang sinonim dengan sukan permotoran rali dunia itu.\r\n\n\n\n\r Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan di Tokyo semalam, FHI berkata, ia sudah memeterai kontrak perjanjian pemasangan kereta Subaru dengan anak syarikat Tan Chong Group, iaitu TC Subaru Sdn Bhd.\r\r\n\n\n\n\n Menerusi perjanjian itu, ia menyaksikan model kereta berprestasi tinggi SUV Subaru yang bersaiz kompak, muncul sebagai model pertama yang akan dipasang di kemudahan pengeluaran sedia ada milik satu lagi anak syarikat Tan Chong Group, iaitu Tan Chong Motor Assemblies (TCMA).\rFHI berkata, kenderaan Subaru yang dipasang di Malaysia itu akan dipasarkan di pasaran tempatan, Thailand dan Indonesia.\rKatanya, segala aktiviti pengedaran kereta itu akan dilaksanakan menerusi rangkaian pengedaran dan penjualan milik Tan Chong Group.\r“Sebagai strategi untuk menyediakan peluang pertumbuhan berterusan untuk kumpulan di rantau Asia Tenggara ini, kami merancang untuk memulakan aktiviti pengeluaran seawal Oktober tahun depan dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 5,000 unit setahun,” kata kenyataan itu tanpa mendedahkan sebarang perincian.\r\n\n\n\n\rTC Subaru adalah pengedar kenderaan Subaru di Singapura, Kemboja, Indonesia, Malaysia, Filipina, Taiwan, Thailand, Vietnam dan Selatan China serta Hong Kong.\rSementara itu, TCMA pula memiliki dua kemudahan pengeluaran, iaitu di Serendah, Rawang yang kini memasang model Nissan seperti Grand Livina, Sylphy dan Teana, dan di Segambut, Kuala Lumpur. Sejak ditubuhkan pada 1974, TCMA pernah terbabit dalam pemasangan kenderaan Subaru pada 1986.\rSumber industri berkata, buat masa ini perincian mengenai pemasangan model SUV itu masih lagi belum dimuktamadkan, namun begitu, SUV Subaru bersaiz kompak yang akan dipasang di Malaysia itu kemungkinan besar adalah model Forester yang kini dipasarkan pada harga sekitar lebih RM200,000 seunit.\r“Kemudahan pengeluaran milik TCMA yang akan digunakannya juga masih lagi belum dimuktamadkan lagi, tetapi pihak pengurusan (Tan Chong Group) dijangka memilih kemudahan pengeluaran lama TCMA di Segambut sebagai pusat pemasangan bagi kenderaan Subaru ini,” katanya. \rKumpulan itu juga, katanya, akan meningkatkan aktiviti pemerolehan alat ganti kenderaan itu bagi menurunkan lagi kos pemasangan berbanding mengimportnya dari Jepun.\rKemudahan milik TCM di Segambut pada masa ini memasang kenderaan, antaranya model Vanett dan trak Bison.\r
[Posting Asal] [Kembali ke Berita Rakyat] [Pump!]
|
|