|
Buku / Majalah Genre Seram/Misteri Vol. 2- update SBDJ 251
[Copy link]
|
|
BERDIRI
Sudah hampir setengah jam berdiri di pintu surau. Masalah yang kusut masih belum dapat diluruskan. Asal usul lelaki berambut panjang masih belum dapat dikesan. Tujuan dan matlamatnya tumpang berteduh disurau masih belum diketahui. Dalam situasi tanpa hujung membuat perasaan saya jadi resah semacam.
Matahari kian meninggi, bahang panas terasa mengigit setiap nci kulit. Bintik-bintik peluh terus membesar dan kembang lalu mengalir dicerun-cerun pipi. Tiada lagi kicau murai, diganti dengan burung helang sewah terbang rendah bersama suara yang nyaring mengintai anak ayam turun sepuluh bermain dijemuran padi.
“Panas, “rungut saya sendirian.
Serentak dengan itu, lelaki berambut panjang mengubah kedudukan dirinya. Dari berdiri terus duduk bersila di depan pintui surau.
Melihat empat lelaki yang berada di depannya, tidak memberikan sebarang komentar atau menyanggah pendapatnya, dia menduga apa yang diluahkannya dapat diterima oleh Pak Habib dan datuk. Saya dan Tajuddin tidak terkecuali.
“Dunia sudah cukup tua, sudah berjutra tahun tak lama lagi dunia kiamat, sebelumkiamat, sebelum Imam Mahadi datang marila kita bertaubat, kita pergi ke tempat yang jauh dan sunyi untuk melakukan amal ibadat, disana tak sembahyang,” lelaki itu memulakan ceramah. Datk resah sekali.
“Aku nak ajak kamu ikut aku ketempat tersebut, tak payah amalkan rkun Islam yang lima, cukup hanya menyebut Allah saja,” tambahnya sambil merenung ke arah Pak Habib dan datuk yang kelihatan macam orang bodoh.
“Gila,” jerit Tajuddin.
Lelaki berambut panjang terus bingkas bangun, mencapai parang panjang disisinya, bagaikan helang menyambar anak ayam di tepi jemuran dia melompat ke arah Tajuddin dengan parang terhunus di tangan. Keadaan menjadi kelam kabut sekali. Saya segera lari ke bahagian tepi surau ntuk menyelamatkan diri. Rupa-rupanya , Tajuddin berlindung di tempat yang sama.
“Berhenti,”
Suara datuk yang bergema itu membuat lelaki berambut panjang berhenti memburu Tajuddin. Dia mengubah haluan menerpa ke arah datuk. Saat dia menghayunkan parang panjang kebahagian leher datuk, Pak Habib datang dari sebelah kanan.
Dengan satu jentikan dari Pak Habib di pangkal cuping telinga kanan lelaki berambut panjang, seluruh tubuhnya menjadi lemah. Parang ditangan terlepas dan lelaki berambut panjang rebah terkapar dihalaman surau. |
|
|
|
|
|
|
| |
|