CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1572|Reply: 0

Mesir dan projek pembodohan

[Copy link]
Post time 21-8-2013 10:23 PM | Show all posts |Read mode

Mesir dan projek pembodohan

Saya telah menggarap empat tulisan mengenai Mesir. Selain dari keinginan saya untuk membawa pencerahan saya juga turut sama "bertamarod". Tamarod membawa makna berontak/melawan. Saya garap tulisan itu agar kita dapat bersama merayakan garis politik jalan raya yang dibawa oleh anak-anak muda di Mesir.

Tamarod kini bukan hanya di Mesir, bukan hanya di Turki, bukan hanya di Brazil. Kini tamarod sedang merebak ke seluruh dunia. Kita telah membaca bagaimana tamarod di Brazil telah berjaya mengagalkan kenaikan harga tiket bas. Kita telah melihat bagaimana tamarod di Istanbul telah menjadikan Edorgan tempang dalam cita-citanya untuk menjadi presiden Turki.

Demonstrasi jalan raya kini telah menjadi satu budaya politik dunia. Dalam dunia pasca moden hari ini jalan raya adalah tempat pertempuran politik untuk menuntut keadilan, menuntut hak dan melawan kezaliman. Jika tahun enam puluhan anak muda telah bergerila di hutan, bergerila di padang pasir dan bergerila dalam bandar, kini metod politik pasca moden telah berubah. Anak muda kini turun ke jalan raya.

Membaca sejarah tahun 60-an dan 70-an, kita akan bertemu dengan Brigades Rouges Itali, Japanese Red Army, Weatherman dan Black Panther dari Amerika, Baader-Meinhof di German, Mujahedin al-Khalq di Iran, Action Direct di Peranchis, Sandero Luminoso di Peru, Al-Fatah di Palestin dan, dan, dan. Semua ini adalah gerakan anak muda yang bangun mengangkat senjata melawan kuasa imperial Anglo-Amerika dan kaum pemodal multinasional.

Kini anak muda bertamarod ke jalan raya membawa ‘mod politik' baru. Sebenarnya turun ke jalan raya ini bukan satu ‘mod politik' yang baru. Metod berdemo di jalan raya telah digunakan oleh CIA untuk menjatuhkan PM Iran Mohammad Mosaddeh pada tahun 1953. Metod ini juga telah digunakan oleh CIA pada tahun 1965 untuk menjatuhkan Bung Karno.

Tetapi metod jalan raya ini telah dirampas kembali oleh anak muda Amerika dan anak muda Eropah di zaman Perang Vietnam. Anak-anak muda sedunia yang menentang Perang Vietnam telah menjadikan jalan raya sebagai wadah politik. Mereka telah berdemo menentang perang Vietnam - di London, Rome, Paris, Washington, Bangkok dan Kuala Lumpur.

Politik jalan raya yang menjadi ikon sejarah, yang menaburkan imej romantik ialah apabila anak anak muda dan mahasiswa kota Paris turun ke jalan raya untuk menjatuhkan presiden Charles de Gaulle pada bulan Mei 1968. Paris dan Mei68 akan terus menjadi rujukan awal tamarod anak muda sedunia.

Politik jalan raya dalam era pasca moden di era Arab Spring telah dibantu oleh teknologi Internet, teknologi digital dan alat komunikasi yang terpantas. Teknologi terkini telah membantu mengembang ampuh Musim Bunga Arab. Teknologi ini juga membantu mengumpulkan puluhan ribu anak muda di Istanbul, di Rabat, di Bahrain dan di Yemen. Politik jalan raya telah berjaya menjatuhkan rejim-rejim zalim di Tunisia dan Mesir. Di Bahrain dan di Yemen tamarod belum selesai.

Saya membuka wacana tamarod dengan membawa rujukan politik jalan raya dari seluruh dunia dengan niat untuk mengajukan satu persoalan hakiki. Untuk saya persoalan ini amat fundamental. Dari pengamatan saya suasana budaya politik kita sedang nazak. Justeru saya wajib mengajukan soalan ini.

Soalannya, apakah budaya tamarod sedunia ini bersama perkembangan teknologi terkini akan membantu anak-anak muda di Malaysia untuk bangun menjatuhkan rejim United Malays National Organisation yang telah berkuasa lebih dari 50 tahun? Untuk saya jawapannya pasti boleh - pasti boleh yang positif.

Tetapi sebelum kita bersama merayakan perkataan ‘boleh dan positif', pada hemat saya ada perkara yang wajib kita tuntaskan dahulu. Ada perkara yang saya rasa perlu kita bersama lintasi dahulu. Ini kerana saya rasakan ada kejulingan, ada kekeliruan dan ada kecelaruan fikrah dalam membaca dan memahami politik Malaysia dan politik antarabangsa.

Saya telah lama merumuskan bahawa kejayaan yang paling besar United Malays National Organisation ialah kejayaan membodohkan warga Malaysia terutama manusia Melayu. Proses pembodohan ini telah membonsaikan akal dan fikrah manusia Melayu. Akal dan fikrah Melayu telah dibantutkan dari berkembang. Yang wujud hanyalah akal-akal kontot yang tidak berupaya untuk berfikir secara kritikal.

Proses pembodohan jelas dibuktikan dengan peranan dan usaha media Melayu untuk membangangkan manusia Melayu ke tahap gaban. Contohnya: Tahun lalu sebuah kontena bahan mentah - rare earth - telah dibawa masuk dari Australia ke Kuantan. Akhbar milik United Malays National Organisation telah memaparkan di muka hadapan gambar satu kumpulan Melayu yang sedang meramas dan memegang bahan mentah rare earth. Gambar ini membawa tajuk: Kilang Lynas Selamat. Keselamatan kilang ini dibuktikan kerana ada mak cik tua bertudung yang berani menggentel-gentel bahan mentah rare earth tanpa mendapat kecederaan.

Untuk saya gambar dan berita ini sahih telah membodohkan manusia Melayu. Pembaca Melayu TIDAK diberitahu bahawa bahan mentahrare earth ini kalau belum diproses memang selamat tidak ada santau radioaktif. Santau radioaktif ini hanya akan muncul apabila bahan mentah ini dibakar dan diproses.

Apabila saya melihat gambar mak cik tua bertudung ini saya merasa sedih kerana bukan sahaja si mak cik ini dibangangkan malah seluruh pembaca Melayu dibodohkan ke tahap gaban. Paling sedih media Melayu ini bukan sahaja telah menipu Melayu malah telah menjadi budak suruhan kepada syarikat santau radioaktif ini.

Proses pembodohan ini sedang merebak. Saya sendiri cukup yakin bahawa projek pembodohan ini telah sampai ke tahap yang amat kritikal. Respon dari surat- surat yang saya terima terhadap tulisan saya mengenai Mesir dan Syria menambahkan lagi keyakinan saya bahawa ‘masyarakat Melayu ini sedang sakit tenat'.

Saya dapati ada kumpulan pembaca tulisan saya tidak memiliki daya fikir yang kritikal. Saya telah menunjukkan dengan fakta politik bahawa apa yang berlaku di Syria itu bukan pertempuran antara Sunni dengan Syiah. Hakikatnya apa yang berlaku di Syria ialah projek kuasa imperial Anglo-Amerika dan Zionis untuk mengawal bumi Arab. Mengawal bumi Arab bertujuan untuk mengawal telaga minyak dan telaga gas. Kenapa agaknya perkara sesenang tupai meloncat di dalam belukar ini pun gagal difahami oleh sesetengah pembaca.

Jika seseorang memiliki keupayaan berfikir secara kritikal apabila membaca apa yang sedang berlaku di Syria pasti akan timbul pelbagai soalan. Contohnya: Yang bermazhab Syiah di Syria hanya 10 peratus dari 28 juta rakyat. Tentera Syria majoritinya bermazhab Sunni. Jika konflik di Syria ialah konflik Syiah lawan Sunni pasti soldadu Bashar yang bermazhab Sunni telah bangun menibai Bashar. Pasti telah lama Bashar terkubur. Kenapa ramai manusia Melayu tidak memiliki kudrat untuk menimbulkan soalan ini?
Kalau kita beralih untuk melihat apa yang berlaku di Mesir maka kebongsaian juga muncul. Saya ajukan pandangan bahawa bahawa apa yang berlaku di Mesir itu ialah demo rakyat Mesir untuk menjatuhkan Mubarak yang zalim. Kemudian berdemo lagi - kali ini menentang pentadbiran Morsi yang tidak terbuka.

Ketika ini cita cita suci anak muda Mesir untuk mendirikan Mesir yang lebih adil dan demokratik telah dibajak oleh tentera. Tentera telah merampas kuasa. Seperti di Syria soldadu Mesir juga bermazhab Sunni. Seharusnya dengan fikiran kritikal akan timbul soalan kenapa Sunni membunuh Sunni? Atau kenapa ada Sunni menentang Morsi dan ada Sunni menyokong Morsi?

Bonsai fikrah ini semakin menjadi-jadi. Kejayaan United Malays National Organisation memandulkan fikrah Manusia Melayu sedang merebak. Kalau kita perhatikan secara rapi manusia Melayu yang bonsai fikrah ini juga memiliki sifat berjiwa rendah. Sifat jiwa rendah ini berjaya ditanamkan bukan hanya melalui proses pembodohan tetapi melalui proses menakut-nakutkan.

Saya cukup yakin, projek pembodohan dan projek menakut-nakutkan manusia Melayu ini berjalan seiring. Dari segi teori ilmiah sebelum seseorang itu dapat dibodohkan maka sosok itu perlu ditakut-takutkan. Apabila takut maka amat senang untuk dibodohkan hingga gagal untuk memiliki tabii manusia untuk berfikir secara kritikal.

Pada bulan puasa tahun ini amat jelas proses menakut-nakutkan Manusia Melayu sedang berjalan ligat. Manusia Melayu terus dikepong dengan agenda eksklusif penggunaan nama Allah. Dalam masa yang sama dalam bulan puasa ini Utusan Malaysia telah mengolah naratif watak manusia Melayu yang ‘cukup lembik' lebih lembik dari ‘bakuteh'.

Manusia Melayu ini diwatakkan oleh Utusan sebagai bagitu rapuh pegangan imannya. Terlihat sahaja anjing ‘berhari raya' dengan serta merta manusia Melayu yang bonsai fikrah ini hilang pedoman dan putus iman. Ketika inilah manusia Melayu ini ditakut-takutkan seolah-olah bulan hadapan anjing dan biawak akan mengambil alih pentabiran negara.

Sayugia diberi ingatan. Agar jangan menusuk sembilu ke dalam luka. Kita wajib berwaspada kerana Melayu Bonsai yang berjiwa rendah ini sedang memanifestasikan rendah jiwa mereka dengan ‘angkuh sombong'. Sifat angkuh sombong ini sedang menggunakan benteng agama. Apakah makna semua ini? Apa hubungan ini dengan Tamarod?

Ucapan selamat hari raya dahulu dari saya.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

10-1-2025 12:06 PM GMT+8 , Processed in 0.066806 second(s), 11 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list