Baghdad: Perdana Menteri Iraq, Haidar al-Abadi mengumumkan siasatan mengenai amalan rasuah kerajaan berjaya membongkar kewujudan 50,000 ‘tentera hantu’ dalam pasukan keselamatan negara itu dan berikrar untuk mengambil tindakan tegas membanterasnya.
Menurut jurucakap Haidar, Rafid Jaboori, perdana menteri membatalkan nama rekaan itu dan sedang berusaha mengatasinya. Jumlah seramai 50,000 orang itu sepatutnya boleh membentuk hampir empat divisyen tentera.
“Selama beberapa minggu, perdana menteri menjejaki dalang yang bertanggungjawab dan mencari punca masalah,” katanya. Rafid berkata, siasatan dimulakan dengan kiraan menyeluruh anggota tentera dalam proses pembayaran gaji terkini. Tentera pula mengesahkan gaji mereka hanya dibayar baru-baru ini selepas dilewatkan selama dua bulan. Mereka mendakwa tidak dimaklumkan punca kelewatan itu.
Sementara itu, sumber berkata, ada dua penipuan dilakukan dalam pasukan itu. Pertama, katanya, seseorang pegawai misalnya dibenarkan memiliki lima pengawal tetapi dia hanya menggunakan perkhidmatan dua daripada mereka. “Tiga lagi dibenarkan berehat dan gaji mereka diambil pegawai terbabit selepas kedua-dua pihak bersetuju mengenai peratusan yang akan masuk ke poket masing-masing,” katanya, semalam.
Kaedah kedua, kata sumber itu, membabitkan kumpulan lebih besar seperti di peringkat briged. Katanya, komander briged biasanya mendapat manfaat daripada gaji 30, 40 atau lebih tentera yang tidak wujud atau tidak bekerja. “Masalahnya, komander terbabit turut terpaksa merasuah pegawai atasannya dengan jumlah yang banyak untuk mengekalkan jawatan,” katanya. - AFP
|