Sarawak mahu memecah kebuntuan meraih kemenangan di tempat lawan dalam kempen Liga Super musim ini apabila berdepan dengan Lions XII di Stadium Jalan Besar, Singapura, Sabtu ini.
Bagi jurulatihnya, Robert Alberts, pasukan itu perlu menggerakkan misi yang lebih gigih mencari kemenangan di tempat lawan bagi memperbaiki kedudukan liga.
Selepas lapan perlawanan, Sarawak kini mengumpul sembilan mata dan menghuni tangga kelapan liga dengan dua kemenangan dan tiga seri.
"Mulai sekarang, kita perlu mengutip mata di tempat lawan serta meningkatkan jumlah jaringan," katanya di sini hari ini ketika mengulas pertemuan dengan
Lions XII.
Dalam lapan perlawanan setakat ini, Sarawak hanya menjaringkan 10 gol sementara membolos 11 manakala Lions XII menghuni tempat kesembilan liga dengan tujuh mata.
Alberts menyifatkan perlawanan di padang tiruan Stadium Jalan Besar itu sesuatu yang mencabar ekoran pergerakan dan lantunan bola lebih pantas dan kadangkala sukar dibaca mampu memerangkap pasukan lawan.
Bagaimanapun, katanya masalah itu akan ditangani semasa sesi latihan.
Menurutnya beliau rasa lega dengan kehadiran semula pemain import, Ivan Fatic pada perlawanan Sabtu ini setelah selesai hukuman penggantungan satu perlawanan.
Katanya beliau masih memikirkan strategi di barisan pertahanan berikutan ketidakpastian Rames Lai Ban Huat dan Rony Harun yang masih dilanda kecederaan.
sumber:www.stadiumastro.com
|