Kulit yang berminyak bukan sahaja menghadapi masalah ancaman jerawat malah, apabila mengenakan wajah dengan secalit solekan pastinya tidak dapat bertahan lama. Lebih teruk, kulit nampak seakan-akan berkilat. Berikut terdapat beberapa petua atau panduan yang boleh dicuba oleh anda yang memiliki kulit berminyak:
1. Jangan cuci muka terlalu kerap Cukup sekadar mencuci muka dua kali sehari, pagi dan malam. Jika terlalu kerap mencuci muka, kulit akan menjadi kering kerana pencuci atau sabun yang berlebihan akan menangkis kelembapan kulit. Tabiat ini juga akan menyebabkan kalenjar sebaceous (yang mengeluarkan sebum) bekerja keras untuk melembapkan kulit. Akibatnya, kulit akan menjadi lebih berminyak.
2. Kertas minyak jadi penyelamat Jangan lupa gunakan penyegar diikuti dengan pelembap selepas mencuci muka. Untuk aktiviti siang hari, anda digalakkan mengelap wajah yangberpeluh dengan kertas minyak wajah. Ini akan membuatkan kulit wajah tampak segar dan solekan tidak comot.
3. Gunakan pelembap sebelum bersolek Bagi anda yang mempunyai kulit berminyak, adalah lebih baik menyapu pelembap pada seluruh wajah dan leher sebelum pemakaian bedak asas. Pilih pelembap yang bebas minyak agar kulit lebih lembut dan sekata.
4. Masker tanah liat Amalkan memakai masker yang berasas tanah liat seminggu sekali. Masker jenis ini dapat menyingkirkan lebihan minyak pada wajah dan membuatkan pH kulit kembali seimbang. Selepas masker kering pada wajah, bilas dengan air suam. Hasilnya wajah akan lebih ‘ringan’ dan bersih.
Makanan yang serasi: Makanan memang mempengaruhi keadaan kulit kita. Elakkan makanan pedas dan berlemak kerana ini menjadi elemen utama menyumbang kepada kulit yang berminyak. Lebihkan pengambilan sayur dan buah-buahan segar.
Petua tradisional: Bagi yang gemarkan cara semula jadi , sapukan timun yang dikisar pada wajah. Biarkan kering 15 hingga ke 20 minit. Kemudian, bilas dengan air bersih. Anda juga boleh sapukan campuran sengkuang dan kentang yang dikisar pada wajah sebelum tidur. Sebaik sahaja bangun pagi, cuci wajah dengan air suam.
mingguanwanita
|