Pertahanan Kelantan perlu kerja keras
BARISAN pertahanan Kelantan akan menggalas tanggungjawab berat untuk menentang kemaraan Selangor ke peringkat suku akhir dalam pusingan kedua peringkat Kumpulan C saingan kempen Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, malam esok. Pemain pertahanan Kelantan Nik Shahrul Azim Abdul Halim berkata ini kerana The Red Giants mempunyai dua penyerang import berbisa iaitu Andik Vermansyah dan Gulillerne de Paula yang mempunyai cara permainan tersendiri.
"Kami perlu merantai barisan hadapan Selangor kerana kita tahu penyerang mereka sangat pantas dan mampu membuahkan jaringan ketika berada di hadapan gawang.
"Selain itu, pemain tengah mereka Muhammad Nazmi Faiz Mansor turut mempunyai kreativiti merancang dan melorong bola kepada barisan hadapan pasukan itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Justeru, Nik Shahrul Azim menyeru rakan sepasukannya supaya tidak memandang rendah keupayaan pasukan pelawat walaupun Kelantan sebelum ini pernah menewaskan Selangor pada perlawanan pembukaan peringkat Kumpulan C baru-baru ini. Perlawanan pada malam esok akan menjadi medan penentu kepada setiap pasukan untuk melangkah ke pusingan suku akhir. - Bernama
|