Pagi ini sewaktu membaca surat khabar atas talian, saya tertarik dengan berita yang disiarkan di The Star – pandan bakal jadi bahan masakan kegilaan tukang masak di US dan UK, Kata Nigella Lawson.
Berita yang dipetik dari The Independant ini menyiarkan pandangan yang diutarakan oleh Nigella Lawson, seorang chef dan trend setter popular dalam bidang masakan di US.
Menurut chef popular ini, daun pandan kini mula menjadi perhatian di restoran dan di dapur mereka yang gemar memasak di Amerika. Dan dijangkakan perkara sama akan berlaku di Britain tidak lama lagi. “Saya dapat rasakan ia bakal menjadi satu lagi bahan semulajadi yang digemari ramai seperti matcha (teh hijau) yang kini sudah pun popular. Saya mungkin silap tapi daun pandan memang sesuatu yang sangat menarik perhatian kami.”
Chef ini juga berkata semakin ramai tukang masak di Amerika yang mula memasukkan pandan ke dalam masakan roti dan kek mereka kerana baunya yang wangi seakan vanilla. Sebelum ini Nigella pernah menyebabkan jualan buah avokado meningkat sebanyak 30% selepas beliau berkongsi tentang buah ini dalam satu rancangan TV.
|