Bunuh diri tak dapat beli-belah
https://www.hmetro.com.my/global/2018/01/304860/bunuh-diri-tak-dapat-beli-belah
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2018 @ 6:11 PM
Agensi
Anggota polis memeriksa bilik lokasi mayat Deepika ditemui. Gambar kanan, Deepak dan isterinya Deepika. FOTO Daily Bashkar
KECEWA suami menangguhkan rancangan membeli-belah daripada Sabtu ke Ahad kerana sibuk dengan keja, seorang wanita di Lucknow, India, membunuh diri dengan menggantung dirinya.
Daily Mail melaporkan, dalam kejadian Sabtu lalu, Deepak Dwivedi memberitahu isterinya, Deepika, 23, mereka tidak dapat keluar bersama kerana dia sibuk dengan kerja.
“Sepupunya akan berkahwin bulan depan dan dia mengajak saya keluar beli-belah untuk majlis perkahwinan itu.
“Sabtu lalu, Deepika mengajak saya membeli-belah, namun kerana banyak kerja di pejabat, saya menangguhkan permintaannya kepada esok (Ahad),” katanya.
Menurut laporan dailybhaskar.com apabila Deepak pulang pada petang Sabtu, pintu biliknya berkunci dan dia enggan keluar.
“Apabila dia tidak mahu membuka pintu, saya tidur di luar. Keesokannya saya memecahkan pintu dan menemui mayatnya,” kata Deepak.
Pegawai polis, Cantt Tannu Upadhyay, berkata keluarga wanita terbabit tidak menyalahkan Deepak atau keluarganya atas kejadian itu.
Menurutnya, selepas dipujuk, barulah mereka membenarkan mayat wanita itu dibedah siasat namun keputusan bedah siasat belum diperolehi.
|