|
LELAKI maut selepas terjun dari tingkat 19 rumah pangsa di Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, mangsa yang berusia 42 tahun dipercayai terjun dan jatuh di atas bumbung rumah sampah sebelum jatuh ke sisi rumah sampah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Noor Azmi Yusoff berkata, anggota polis menerima panggilan kecemasan pada 4.16 tengah hari memaklumkan mengenai kejadian itu.
"Kita syak mangsa terjun dari tingkat 19 kerana di tingkat 18, pemancar syarikat televisyen kabel beralih kedudukannya sementara di tingkat 16 satu bumbung didapati mempunyai kesan kemek.
"Hasil siasatan, mangsa yang masih bujang itu adalah pengemis dan selalu berlegar-legar di kawasan terbabit untuk meminta sedekah.
"Rakan mangsa memaklumkan sebelum ini mangsa pernah cuba membunuh diri dengan cara membakar dirinya pada tiga atau empat tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Noor Azmi berkata, kematian mangsa di lokasi kejadian disahkan oleh pihak ambulans.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat.
"Hasil bedah siasat kemudian mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 1:03 PM
|
|