Norashman susah hati polis serbu rumah Tun Rahah ketika dia dan keluarga di mahkamah. (Gambar Bernama)PETALING JAYA: Anak lelaki bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak meluahkan perasaan marahnya terhadap polis kerana menyerbu kediaman neneknya, Tun Rahah Mohamed Noah hari ini.
“Tolong jangan libatkan nenek saya dalam hal ini! Serbu rumahnya ketika kami berada di mahkamah?” kata Norashman di Instagram.
Luahan itu disertakan dengan laporan FMT tentang serbuan ke atas rumah Rahah di Jalan Eaton off Jalan Tun Razak di Kuala Lumpur.
Sementara itu, anak perempuan Najib, Nooryana Najwa bersedih neneknya yang berusia 87 tahun terpaksa melalui pengalaman itu.
“Mengapa tiada foto serbuan ini,” kata Noryana di Instagram, dan menambah polis pulang dengan tangan kosong selepas serbuan itu.
“Saya faham polis menjalankan tugas sebagaimana diarahkan kuasa yang ada, tetapi tidak adakah sekelumit rasa belas kasihan terhadap wanita berusia begitu, isteri kepada bekas pedana menteri dan seorang wanita yang banyak berjasa kepada asas negara ini?”
Difahamkan serbuan itu berkaitan dengan siasatan ke atas peranan Najib dalam 1MDB.
Serbuan itu berlaku ketika 25 pertuduhan baharu dikenakan terhadap Najib hari ini, menjadikan keseluruhannya 32 pertuduhan sejak siasatan dimulakan selepas tumbangnya kerajaan Barisan Nasional pada pilihan raya umum 9 Mei lepas.
Najib berikrar akan membersihkan namanya selepas mahkamah diberitahu beliau selaku perdana menteri, menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB menerima kira-kira RM2.3 bilion antara 2011 dan 2014.
25 pertuduhan terhadap Najib hari ini menyusuli 7 pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang dan salahguna kuasa.
“Hanya Allah sahaja mampu membalas, hanya Allah sahaja tahu apa yang saya rasai dan lalui. Saya yakin kebenaran akan terserlah,” kata Najib di Facebook.