Pernahkah ketika melayari media sosial, anda terjumpa status mengenai jawapan peperiksaan pelajar sekolah? Jika ya, pernahkah anda terfikir bagaimana soalan tersebut boleh dijadikan bahan jenaka sedangkan itu adalah perkara sulit. Lebih menyedihkan jika nama pelajar itu tidak dipadam ketika ditayangkan di media sosial hingga memalukan pelajar tersebut.
Hal inilah yang membimbangkan ramai guru lama apabila melihat ia menjadi trend sekaligus ditertawakan oleh netizen lain. Etika perguruan juga turut dipersoalkan kerana nampaknya guru muda sekarang ini lebih mementingkan penerimaan netizen berbanding kefahaman pelajar mereka sendiri.
Kredit foto: Twitter
Menurut Sal, fenomena yang menyaksikan guru muda memuatnaik jawapan pelajar di media sosial semakin menjadi-jadi. Lebih memalukan kerana jawapan yang dipaparkan menjadi bahan jenaka kepada netizen lain. Ini sebenarnya tidak patut berlaku kerana pelajar masih dalam proses pembelajaran. Lagi pula jika pelajar tersebut menjawab mengarut bermakna guru tersebut juga tidak mengajar dengan betul kerana murid boleh salah faham.
Hal ini membuatkan pelajar yang mengenali tulisan mereka akan berasa malu dan mungkin menyimpan dendam. Jika pelajar ini ditegur secara berhadapan pastinya tidak menjadi masalah, tetapi apabila dicanang di media sosial, kesannya akan lebih parah.
Kredit foto: Carian Internet
Teguran tersebut dipersetujui oleh netizen lain yang merasakan guru sekarang terlalu mementingkan media sosial berbanding tugasnya yang sebenar. Mereka lebih galak merakam gelagat pelajar di dalam kelas berbanding memberi kefahaman kepada murid-murid. Antaranya ialah merakam gelagat Tik Tok bersama anak murid, menceritakan masalah pelajar di laman media sosial dan pelbagai lagi.
Kredit foto: Carian Internet
Dengan begitu banyak teguran terhadap perangai segelintir guru ini, timbul persoalan adakah perlu guru menggunakan telefon pintar ketika mengajar kerana ia memberi pengaruh tidak baik kepada murid-murid.
Bagaimanapun pendapat tersebut tidak dipersetujui oleh netizen lain yang menganggap tidak semestinya guru sahaja bertanggung jawab dalam hal ini. Ini kerana ada juga saudara mara pelajar tersebut yang menjadikannya tular. Jadi untuk menyalahkan guru semata-mata adalah tidak tepat.
Kredit foto: Carian Internet
Guru adalah kerjaya yang mulia dan dipandang tinggi kerana mendidik anak bangsa ke arah yang lebih cemerlang. Jangan hanya kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. - CARI
|