|
November tahun lepas, Ruhainies dah mengaku menerima lamaran dari kekasihnya ketika bercuti ke Itali.
Bukan main jauh lagi nak menikah. Nun di London. Maklumlah bakal suami Ruhainies yang dikenali sebagai Mr.E memang menetap di sana.
Foto: IG
Bagaimanapun kata Ruhainies, 27, tidak manis baginya untuk bercerita lebih lanjut sebaliknya menyerahkan segala persoalan untuk dijawab oleh kekasihnya.
"Dia ada tanya, majlis nikah nanti mahu buat di sini atau London. Saya cakap tidak tahu.
"Saya serahkan pada dia tentukan. Kalau boleh, saya mahu dia jawab semua persoalan ini sebab dia lelaki," katanya kepada Harian Metro.
Ramai yang menyangka Ruhainies bakal melangsungkan perkahwinan dalam masa terdekat tapi sebenarnya dia tidak mahu langkah bendul kakaknya yang juga pelakon Nur Risteena.
"Tarikh kahwin saya biarlah rahsia dan menjadi elemen kejutan. Apa saya boleh katakan, perancangan ke arah itu bukan dalam masa terdekat.
"Kalau boleh, mahu kakak kahwin dulu. Insya-Allah, majlis perkahwinannya berlangsung tahun ini. Lagi pula, saya tidak mahu langkah bendul.
"Keluarga saya pula jenis kena ikut adat. Mahu atau tidak, memang kena lepaskan kakak dulu."
Lagi pula Ruhainies tidak mahu tergesa-gesa dalam soal perkahwinan.
"Kalau tanya mengenai persediaan, dalam dunia ini tidak ada siapa yang bersedia terutama apabila bercakap soal kahwin.
"Ini disebabkan masing-masing inginkan yang terbaik. Macam saya sendiri pun, masih berasa diri tak sempurna.
"Apa pun, doakan yang terbaik untuk saya dan segala dirancang dipermudahkan Allah SWT. -CARI
|
|