Sempena bulan Ramadan ini, sebuah stesen minyak yang terletak di Batu Berendam, Melaka mengambil langkah unik dalam memberikan sumbangan dan derma dengan memberikan pakaian percuma kepada komuniti yang memerlukan.
Menurut Astro Awani, inisiatif itu dimulakan awal bulan lalu oleh Stesyen Minyak Shell yang terletak di Jalan Mohd Zin Dsh. Sebahagian daripada ruangan stesen minyak tersebut telah diubahsuai sebagai ruang terbuka untuk orang awam melihat dan mencuba pakaian yang didermakan itu yang mana sebahagian besar daripadanya adalah pakaian terpakai.
Kredit foto: Facebook
Pengusaha stesen minyak itu, Zulkifly Jantan memberitahu Astro Awani bahawa mereka menawarkan pakaian pelbagai saiz untuk dewasa dan kanak-kanak yang masih dalam keadaan baik. Malahan sebahagian daripadanya adalah pakaian berjenama.
Walaupun projek bulan Ramadan itu dimulakan oleh Zulkifly dan keluarganya, tetapi ianya menarik perhatian orang ramai yang ingin turut sama menyumbangkan pakaian masing-masing.
Kredit foto: Facebook
Seorang pengguna Facebook bernama bernama Zatul Jaja turut mempromosikan program pakaian percuma itu. Menurutnya, dalam sehari sahaja mereka menerima lebih 4 beg besar sumbangan daripada orang ramai termasuk baju kurung, tudung bawal dan pakaian kanak-kanak.
Kredit foto: Melaka Daily
Zatul turut memberitahu bahawa program itu mendapat sambutan ramai dan banyak pakaian yang didermakan telah pun diambil oleh orang ramai yang singgah ke stesen itu.
Kredit foto: Facebook
"Ini kali kedua program bulan Ramadan ini diadakan dan kami bersyukur kerana ianya terus mendapat sambutan dan memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan," kata Zulkifly.
Satu lagi program yang unik kerana selama ini kita sudah banyak mendengar sumbangan makanan sempena Ramadhan. Tahniah kepada pengusaha Stesen Minyak dan penganjur program ini. - CARI |