Gambar kenangan Allahyarham Jefri Adzman bersama arwah ibunya. Kredit foto: Instagram
Adik kepada pelakon Afdlin Shauki iaitu Jefri Adzman Aksan yang mengalami koma setelah menjadi mangsa kemalangan langgar lari meninggal dunia pada 12 Jun.
Perkara itu disahkan oleh Afdlin Shauki melalui entri dalam akaun Instagram miliknya pada hari yang sama.
Jefri telah pulang ke rahmatullah pada pukul 5.14 petang setelah terlibat dalam kemalangan berhampiran stesen minyak Petronas Kota Damansara, Selangor pada 9 Jun lalu.
Afdlin Shauki bersama Allahyarham Jeffri Adzman dan dua kenalan mereka. Kredit foto: Instagram
Insiden itu menyebabkan Allahyarham menjadi koma dan perlu menjalani pembedahan untuk membuang pendarahan dalam otaknya di Hospital Thomson Kota Damansara di mana dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.
"Sekarang adik dan boleh jaga mak In Shaa Allah di jannah. Tak aci korang dah bersama. Ya Allah jagalah mereka, hindarkanlah seksa kubur, elakkan dari azab api neraka, elakkan dari fitnah sewaktu hidup dan selepas mati.
"Elakkan dari fitnah dajjal. Kejap sangat Allah pinjamkan kau dekat kami jep... Yeop sayang kau jep," tulis Afdlin Shauki dalam entri tersebut.
Afdlin Shauki turut memohon kepada sesiapa sahaja yang mengenali Jefri agar memaafkan segala kesalahannya serta menghalalkan makan dan minumnya.
"Jika adik saya ada berhutang dengan sesiapa, bolehlah sekiranya menghubungi saya," katanya.
Semoga roh Allahyarham Jefri Adzman ditempatkan dalam kalangan hamba-hamba Allah yang beriman dan sentiasa beramal soleh. - CARI
|