Kesan cat filter menyebabkan Shaukat Yousafzai kelihatan seperti mempunyai misai dan telinga kucing. Kredit foto: Facebook
Seorang menteri di Pakistan dijadikan bahan lawak oleh para netizen apabila muncul dengan misai dan telinga kucing pada wajahnya semasa sidang akhbarnya bersiaran secara langsung dalam Facebook pada 14 Jun lalu.
Kesilapan yang berlaku akibat 'cat filter' dipasang secara tidak sengaja oleh pasukan media sosial menteri wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Shaukat Yousafzai itu terus berlaku walaupun komen tentang insiden lucu itu masuk bertalu-talu.
Antara komen yang ditulis netizen adalah "ada seekor kucing di dalam kabinet" dan "Shaukat Yousafzai kelihatan seperti seekor kucing - Meow meow meow."
Memetik laporan AFP pada 16 Jun, video tersebut sempat dilihat oleh seorang wartawannya sebelum dipadamkan dari laman Facebook rasmi parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) beberapa minit selepas sidang media itu berakhir.
Insiden melucukan ini disiarkan secara langsung dalam laman Facebook PTI Khyber Pakhtunkhwa sebelum dipadamkan beberapa minit selepas sidang media berakhir. Kredit foto: Facebook
Walau bagaimanapun, gambar-gambar lucu daripada sidang media berkenaan masih tular dalam media sosial.
Shaukat ketika mengesahkan insiden itu kepada AFP berkata, ia berlaku secara tidak sengaja.
"Tidak perlulah kita bersikap serius dalam semua perkara. Bukan saya seorang sahaja, dua lagi pegawai yang duduk di sebelah saya juga terkena penangan cat filter," katanya secara berseloroh.
Seorang pegawai lain turut terkena penangan cat filter. Kredit foto: Facebook
Sementara itu, pasukan media sosial PTI dalam satu kenyataan media memberi jaminan bahawa segala tindakan yang wajar telah diambil bagi mengelakkan kesilapan serupa berulang pada masa hadapan.
Sekurang-kurangnya Shaukat masih boleh menarik nafas lega kerana isu yang dihadapinya tidak sepanas video kontroversi yang dikaitkan dengan seorang menteri Kabinet di Malaysia. - CARI |