Akhmad Jauhari menunjukkan ubat kuat dan jamu yang dirampas pihak berkuasa Arab Saudi. Kredit foto: Jawa Pos
Kebiasaannya, umat Islam yang bakal mengerjakan ibadah haji di tanah suci Mekah hanya membawa barangan yang diperlukan untuk keperluan mereka beribadah.
Lain pula halnya dengan sekumpulan jemaah haji dari Indonesia yang dikesan membawa beratus-beratus bungkusan barangan yang dicurigai oleh pihak berkuasa Arab Saudi sebaik sahaja mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad bin Abdulaziz, Madinah.
Memetik laporan Jawa Pos pada 13 Julai, sebahagian besar daripada barangan yang dirampas adalah 'ubat kuat' yang terdiri daripada 633 bungkus jamu untuk tenaga batin lelaki, enam bungkus jamu rapat wangi dan pelbagi jenis jamu yang lain.
Turut dirampas adalah 65 kotak rokok dan beratus-ratus paket minuman segera.
Pihak berkuasa Arab Saudi merampas ratusan barang mencurigakan yang dibawa oleh bakal-bakal hari dari Indonesia sebaik sahaja mereka tiba di Lapangan Terbang Putera Mohammad bin Abdulaziz, Madinah (gambar hiasan). Kredit foto: DetikNews
Ketua penyelia jemaah haji Indonesia di Madinah, Akhmad Jauhari memberitahu, pihak berkuasa Arab Saudi menyita semua ubat tradisional berkenaan kerana maklumat kandungan tidak dipamerkan pada bungkusan.
"Mengapa jemaah haji membawa jamu rapat wangi dan lain-lain? Kalau bawa minyak angin, parasetamol atau ubat mengurangkan sakit dan jumlahnya wajar, ya tidak ada masalah," jelasnya.
Menurut beliau, rokok pula dirampas kerana dibawa masuk melebihi had 20 bungkus yang dibenarkan sekali gus dicurigai sebagai barang dagangan.
Pihak berkuasa Arab Saudi seterusnya menyerahkan semua barangan yang dirampas kepada jawatankuasa penyelenggara ibadah haji Indonesia di Madinah.
Manfaatkan sepenuhnya kesempatan berada di tanah suci Mekah dan Madinah untuk melakukan amal ibadah (gambar hiasan). Kredit foto: Carian Google
Akhmad menegaskan, semua barangan yang berada dalam simpanan pihaknya tidak akan dipulangkan kepada bakal-bakal haji terbabit.
Bila berada di tanah suci, beri tumpuan kepada amal ibadah dan bakal haji seharusnya 'berehat' seketika daripada melakukan aktiviti yang memerlukan ubat kuat. - CARI |