Di Malaysia sekarang ini trending dengan gelang emas Pulut Dakap yang boleh dikira agak besar dan kelihatan sangat gah buat si pemakainya. Harganya juga sudah tentulah mencecah ribuan hingga puluhan ribu Ringgit mengikut berat dan juga harga semasa Emas.
Pendek kata, apa jenis gelang, rantai, cincin dan aksesori berasaskan emas pasti menjadi kegilaan dan idaman buat setiap wanita tulen.
Namun lain ceritanya buat seorang lelaki di Vietnam, Tran Ngoc Phuc yang juga merupakan peminat barangan emas. Lebih mengejutkan, usahawan dari Vietnam ini tular di negara beliau kerana tabiat memakai barang kemas emas seberat 13 kilogram setiap hari. Biar betul?
Menurut beliau, beberapa tahun yang lalu beliau dinasihatkan oleh pakar Feng Shui untuk memakai aksesori emas bagi menarik rezeki. Pada awalnya beliau hanya memakai kalung emas seberat 5 kilogram. Tetapi selepas keuntungan perniagaan semakin meningkat, semakin banyak barang kemas telah ditempah dan dipakai.
Kini beliau memakai dua gelang, beberapa cincin dan kalung dengan nilai mencecah 13 Bilion Dong Vietnam (~RM 2.34 Juta). Oleh sebab keselamatan, beliau sering ditemani lima orang pengawal peribadi apabila keluar dari rumah. Pengawal peribadi ini juga kadang kala akan memegang kalung bagi mengurangkan kesakitan majikan.
Kerana berat barang kemas yang melampau, beliau sering mengalami masalah sakit tengkuk namun masih berkeras memakainya kerana faktor Feng Shui. Beliau kini menunggu tempahan baju dan topi emas siap bagi mempunyai pakaian emas yang lengkap pada seluruh tubuh. - CARI
|