Memesan gelanggang bola keranjang ketika tidur merupakan antara perbuatan aneh dilakukan seorang wanita yang mengalami masalah penyakit jarang ditemui.
Harian Metro yang memetik Daily Star melaporkan, Kelly Snipes, 38, dari United Kingdom tidak sedar dirinya berbelanja dalam talian ketika tidur.
Dia hanya menyedari perbuatannya itu selepas menerima emel resit pembelian barangan berkenaan yang dibelinya dari eBay.
Malah, dia terpaksa menolak apabila sebuah lori membuat penghantaran set lengkap gelanggang bola keranjang ke rumahnya.
"Saya terpaksa menolak penghantaran itu. Saya tidak pernah meletakkan maklumat kad kredit apabila saya membeli barangan dalam talian kerana semuanya disimpan dalam telefon bimbit saya.
"Semuanya ada dalam telefon saya dan hanya boleh diakses menerusi sentuhan," katanya dipetik Daily Star.
Selain itu, dia juga pernah membelanjakan beberapa ratus pound dengan membeli manisan.
Kredit foto: Daily Star/SWNS
Kelly berterima kasih kepada suaminya, Jamie, 40, kerana sangat memahami keadaannya dan sentiasa memberi sokongan.
"Kami cuba menetapkan langkah keselamatan untuk memastikan saya sentiasa selamat.
"Saya juga meminta suami berjaga memerhati saya ketika tidur, kadangkala dia juga tertidur," katanya.
Selepas menjalani ujian, Kelly menemui penawar kepada penyakitnya itu dengan kaedah rawatan untuk pesakit Sindrom Tidur Berapnea atau Obstructive Sleep Apnoea (OSA) iaitu menggunakan mesin Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) yang membantu meningkatkan tahap oksigen dalam badan. - CARI |