Tidak mustahil dalam tempoh dua tahun lagi hidangan istimewa char kuetiau kerang, kerang bakar, rendang kerang atau sambal kerang hanya 'tinggal nama' jika kepupusan spesies kerang darah (Tegillarca granosa) tidak diatasi.
Trend kemerosotan sumber makanan laut ini kian ketara apabila harga kerang darah semakin mahal manakala saiznya semakin mengecil berbanding beberapa dekad lalu.
Gambar hiasan
Kredit foto: Harian Metro
Mengambil perbandingan 10 tahun lalu, sekilogram kerang boleh dibeli pada harga RM3 sekilogram namun kini harganya melangkau hingga RM18 sekilogram. Ia dianggap harga paling mahal dalam sejarah.
Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan Selangor, Azimah Jumatli berkata, pihaknya menyedari isu ini dan keluhan pengguna susulan kenaikan harga kerang yang dianggap tidak munasabah.
Beliau berkata, kecurian dan pencemaran laut juga antara faktor yang tidak boleh dielakkan apabila membabitkan hayat haiwan bercengkerang itu.
"Wujud aktiviti mengutip benih kerang secara haram sebelum diseludup ke negara jiran terutama Thailand berikutan negara itu tidak memiliki spesies kerang darah.
"Oleh itu, kami mohon dengan kerajaan negeri memperkasakan penguatkuasaan kami dengan peralatan yang sesuai.
"Jabatan ini juga sudah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang nelayan perlu mendapat permit atau lesen dari Pejabat Perikanan Daerah Sabak Bernam jika mahu mengutip hidupan ini. Hanya kerang bersaiz melepasi 4 milimeter dibenarkan untuk dikutip.
"Selepas diluluskan, barulah nelayan boleh mengutip benih kerang ini dan kebiasaannya, mereka akan bawa bersama kad nelayan mereka," katanya.
Sumber: Harian Metro |